
GEORGE TOWN : Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka membanjiri kawasan Padang Kota Lama di sini bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Justeru, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan orang ramai, seramai 368 anggota polis akan ditugaskan sepanjang sambutan berkenaan diadakan.
Pada masa yang sama katanya, beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar George Town akan ditutup secara berperingkat mulai esok manakala penutupan penuh jalan akan bermula seawal pukul 2 pagi pada 31 Ogos bagi melancarkan pergerakan orang ramai serta kontinjen yang menyertai perbarisan.
“Penutupan ini bagi memudahkan orang ramai datang selain memastikan kesesakan lalu lintas dapat dikawal serta melancarkan perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kebangsaan.
“Kita jangkakan kesesakan lalu lintas memang akan berlaku, namun, penempatan anggota serta pasukan trafik di lokasi dapat membantu mengurangkan kesesakan yang bakal dihadapi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, jalan-jalan yang akan ditutup termasuk Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Jalan Padang Kota Lama, Lebuh Light, persimpangan Lebuh Downing atau Lebuh Pantai, Lebuh King, Lebuh Bishop, Lebuh Penang (Lebuh Pitt), Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Farquhar, simpang Lebuh Light serta Pengkalan Weld dari Lebuh Chulia.
“Dalam hal ini, polis akan turut menggerakkan Jam Squad daripada bahagian trafik untuk memastikan agar kesesakan lalu lintas dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN
The post Hari Kebangsaan: 10,000 dijangka banjiri Padang Kota Lama appeared first on Utusan Malaysia.






