800 anggota polis kawal sambutan Merdeka di Klebang

23 Aug 2026 • 6:46 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 800 anggota polis kawal sambutan Merdeka di Klebang

MELAKA: Polis Melaka menggerakkan kira-kira 800 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan serta kelancaran trafik sepanjang sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di sekitar Dataran 1 Malaysia Klebang, di sini, dari 29 hingga 31 Ogos ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penugasan itu membabitkan kawalan keselamatan dan lalu lintas bagi tiga acara utama iaitu Melaka Berselawat pada 29 Ogos, ambang Merdeka (30 Ogos) dan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Menurutnya, walaupun lokasi sambutan kali ini dipindahkan ke Klebang, pihak polis yakin persiapan bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan kerajaan negeri mampu memastikan pergerakan orang ramai berjalan lancar.

“Lokasi kali ini adalah tempat baharu iaitu di Klebang, namun ia tidak menjadi masalah kerana kita percaya semua rakan dan sahabat kita, terutama MBMB dan kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi.

“Pihak polis membantu dari segi keselamatan dan lalu lintas dan kita telah menggerakkan lebih kurang 800 anggota menjelang Hari Merdeka ini,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Konvoi ‘Charity Ride’ Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Superbikers Club (ISBC) sempena sambutan Hari Polis Ke-219 dan Ambang Merdeka Ke-69 di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, beberapa laluan utama di sekitar Dataran Klebang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat mulai 26 Ogos ini bagi memberi laluan kepada persiapan pentas utama selain memastikan kelancaran trafik sepanjang sambutan.

Katanya, lampu isyarat Dataran Klebang akan ditutup dari 26 hingga 31 Ogos dengan aliran trafik dari Sungai Udang ke pusat bandar dilencongkan melalui Jalan Lama Klebang.

“Bagi laluan dari Bulatan Klebang ke arah bandar Melaka, kenderaan juga akan melalui Jalan Lama Klebang,” katanya.

Beliau berkata, lampu isyarat Hospital Oriental di Jalan Persisiran Pantai pula akan ditutup pada 31 Ogos, manakala lampu isyarat Balai Polis Batang Tiga turut ditutup bagi aliran tertentu.

“Jalan Pantai Klebang juga akan ditutup kepada laluan orang awam bagi memastikan keselamatan pengunjung sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkhairi menasihatkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan anggota polis yang ditempatkan di lokasi bagi mengelakkan kesesakan.

“Jalan yang ditutup agak sempit dan kita minta pengunjung mengatur perjalanan supaya tidak berlaku kesesakan yang teruk,” katanya. –UTUSAN

The post 800 anggota polis kawal sambutan Merdeka di Klebang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved