DUN Selangor: Pengurusan fatwa diselaras struktur peringkat kebangsaan

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 9:42 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Fatwa Selangor

SHAH ALAM: Pembuatan atau penggubalan dan pengurusan fatwa di Selangor diselaraskan semula bagi menepati struktur sebenar di peringkat kebangsaan selepas peruntukan sedia ada tidak lagi selaras dengan amalan semasa.

Perubahan itu dibuat melalui Rang Undang-Undang (RUU) (Enakmen) Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2026 (EPAINS) yang melibatkan pindaan enakmen tersebut.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pindaan tersebut bagi memastikan peruntukan sedia ada selaras fungsi penyelarasan hukum syarak yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Pindaan itu akan menyelaraskan peruntukan undang-undang dengan struktur sebenar pengurusan fatwa tanpa menjejaskan bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Selangor.

“Pada masa sama pindaan tersebut juga memberi ruang kepada jawatankuasa berkenaan untuk menilai kesesuaian sesuatu pandangan berdasarkan hukum syarak, maslahat serta keperluan masyarakat Islam di negeri ini,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, semalam.

Jelasnya, cadangan pindaan itu bukanlah bertujuan mengubah kedudukan institusi fatwa di negeri ini ataupun mengurangkan kepentingan penyelarasan hukum di peringkat kebangsaan.

“Sebaliknya, ia bagi memastikan peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 sentiasata mencerminkan struktur sebenar pentadbiran fatwa di Malaysia tanpa menjejaskan kedudukan perlembagaan negeri serta kuasa Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri,” ujarnya.

Semalam, DUN Selangor meluluskan RUU Enakmen Mahkamah Syariah melalui pengasingan kuasa daripada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (UUTKS) 1959.

Terdahulu, Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH-Seri Setia memaklumkan pindaan dalam RUU EPAINS bertujuan memperkukuh punca kuasa statutori Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam melaksanakan bantuan guaman syarie dan pengantaraan.

“Walaupun perkhidmatan tersebut sudah dilaksanakan secara berterusan, namun ia masih bergantung kepada kuasa umum MAIS tanpa suatu peruntukan khusus fungsi tersebut.

“Pindaan itu memperkukuh pentadbiran keadilan terhadap institusi kekeluargaan Islam melalui bantuan guaman yang lebih mudah diperolehi dalam pertikaian berkaitan perceraian, nafkah, mutaah, hadhanah, hak jagaan anak, harta sepencarian, penguatkuasaan perintah dan tuntutan-tuntutan lain,” jelasnya. – UTUSAN

The post DUN Selangor: Pengurusan fatwa diselaras struktur peringkat kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved