
PUTRAJAYA- Proses pendaratan dan pelepasan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan sementara pada 26 hingga 29 Ogos selain pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata, penutupan sementara ruang udara itu dijadualkan bermula pada pukul 8.45 pagi hingga 9.45 pagi pada 29 dan 31 Ogos untuk aktiviti raptai penuh dan sambutan kemerdekaan.
Katanya, ruang udara juga ditutup pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari pada 26 hingga 28 Ogos untuk aktiviti raptai.
“Sepanjang tempoh penutupan itu, aktiviti berlepas dan mendarat pesawat berjadual di KLIA akan dihentikan sementara bagi memastikan latihan dan lintasan udara berkenaan berlangsung dengan selamat dan teratur.
“Orang ramai juga mungkin menyedari peningkatan aktiviti pesawat berkaitan dengan acara berkenaan,” katanya hari ini.
Susulan itu, penumpang yang melakukan perjalanan melalui KLIA dalam tempoh berkenaan dinasihatkan supaya menyemak status dan jadual penerbangan terkini secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing.
Ini kerana sesetengah penerbangan mungkin dijadualkan semula atau terjejas akibat penggantungan sementara pergerakan pesawat.
“CAAM turut mengingatkan orang ramai bahawa semua operasi dron atau Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) adalah dilarang sama sekali di kawasan yang terjejas sepanjang tempoh latihan dan lintasan udara Hari Kebangsaan.
“Operasi dron tanpa kebenaran boleh menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan, khususnya kepada pesawat yang beroperasi pada altitud rendah dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.
Pada masa sama, CAAM turut menghargai kefahaman dan kerjasama berterusan daripada penumpang, syarikat penerbangan, pengguna ruang udara serta orang ramai sepanjang tempoh berkenaan.
“Langkah sementara ini perlu dilaksanakan bagi memastikan lintasan udara Hari Kebangsaan berlangsung dengan selamat dan teratur di samping memastikan keselamatan, sekuriti dan kecekapan ruang udara terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Hari Kebangsaan: Pelepasan, pendaratan pesawat di KLIA dihentikan sementara appeared first on Kosmo Digital.






