Hari Kebangsaan: Perkhidmatan Rapid KL beroperasi 24 jam pada 30, 31 Ogos

21 Aug 2026 • 5:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hari Kebangsaan: Perkhidmatan Rapid KL beroperasi 24 jam pada 30, 31 Ogos

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Perkhidmatan rel dan bas terpilih kendalian Rapid KL akan beroperasi 24 jam pada 30 dan 31 Ogos ini bagi memudahkan pergerakan orang ramai bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelanjutan waktu operasi itu melibatkan semua perkhidmatan rel kendaliannya iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.

Kekerapan tren di beberapa laluan utama turut dipertingkatkan dan diselaraskan mengikut permintaan serta keadaan semasa di stesen, manakala tren tambahan akan digerakkan jika diperlukan berdasarkan pemantauan jumlah penumpang dan tahap kesesakan di platform.

“Perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas dan Rapid KL On-Demand (ROD) turut beroperasi 24 jam, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada orang ramai sepanjang tempoh sambutan.

“Pelanjutan waktu operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar, khususnya mereka yang menghadiri sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos serta sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya pada pagi 31 Ogos,” menurut kenyataan itu.

Rapid KL memaklumkan bagi menyokong pergerakan ke lokasi sambutan di Putrajaya, sebanyak 103 bas disediakan untuk perkhidmatan bas perantara percuma melibatkan dua laluan, iaitu MS01 dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 dan MS02 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ke Jalan Tun Hussein, Presint 3.

Menurut Rapid KL, laluan MS01 akan beroperasi dari 2 petang pada 30 Ogos hingga 2 petang keesokannya, manakala MS02 beroperasi dari 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.

“Perkhidmatan bas perantara percuma ini bertujuan memudahkan akses kepada orang ramai untuk ke kawasan sambutan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Rapid KL memaklumkan lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan secara syif pada kedua-dua hari berkenaan bagi menyokong operasi perkhidmatan, mengurus pergerakan orang ramai serta memastikan aliran penumpang di stesen dan lokasi tumpuan berjalan lancar dan selamat.

Sehubungan itu, Rapid KL menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam ke lokasi sambutan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, selain merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ’n Go mencukupi dan mematuhi arahan petugas terutama di kawasan berkepadatan tinggi.

Maklumat terperinci mengenai operasi dan perkhidmatan Rapid KL sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan 2026 boleh diakses menerusi platform media sosial Rapid KL atau layari www.myrapid.com.my.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved