Rapid KL operasi 24 jam dua hari sempena Hari Kebangsaan 2026

21 Aug 2026 • 4:36 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Rapid KL operasi 24 jam dua hari sempena Hari Kebangsaan 2026

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang merancang menyertai sambutan Ambang Merdeka dan Hari Kebangsaan tahun ini boleh menggunakan perkhidmatan rel Rapid KL yang akan beroperasi sepanjang masa selama dua hari.

Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur akan beroperasi 24 jam bermula 30 Ogos hingga 31 Ogos 2026, sebagai langkah memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar sepanjang sambutan berkenaan.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, beberapa perkhidmatan bas terpilih turut dilanjutkan kepada operasi 24 jam, termasuk Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway dan Rapid KL On-Demand (ROD).

Menurutnya, kekerapan tren di beberapa laluan utama juga akan ditingkatkan berdasarkan jumlah penumpang, manakala tren tambahan akan digerakkan mengikut keadaan kesesakan di platform dan stesen.

“Pelanjutan waktu operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar, khususnya mereka yang menghadiri sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos serta acara Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada pagi 31 Ogos,” katanya.

Dalam masa sama, Rapid KL menyediakan 103 bas perantara percuma menerusi dua laluan bagi memudahkan orang ramai menuju ke kawasan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.

Laluan MS01 dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2, akan beroperasi dari 2 petang pada 30 Ogos hingga 2 petang pada 31 Ogos.

Sementara itu, laluan MS02 dari PICC ke Jalan Tun Hussein, Presint 3, beroperasi dari 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.

“Perkhidmatan percuma ini disediakan bagi memudahkan akses orang ramai ke kawasan sambutan selain mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Bagi memastikan operasi berjalan lancar, lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan secara syif sepanjang 30 dan 31 Ogos.

Petugas berkenaan akan membantu mengurus pergerakan penumpang, memantau keadaan di stesen serta memastikan aliran orang ramai di lokasi tumpuan berlangsung dalam keadaan lancar dan selamat.

Rapid KL turut menggesa orang ramai memilih pengangkutan awam untuk ke lokasi sambutan bagi membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, terutama pada waktu puncak.

Penumpang juga dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ’n Go mencukupi serta mematuhi arahan petugas ketika berada di stesen atau kawasan yang mempunyai kepadatan penumpang tinggi.

Maklumat lanjut berkaitan operasi Rapid KL sepanjang sambutan Hari Kebangsaan boleh diperoleh menerusi saluran media sosial Rapid KL atau laman rasmi myrapid.com.my

The post Rapid KL operasi 24 jam dua hari sempena Hari Kebangsaan 2026 appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved