
PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya akan diteruskan pada Isnin sekiranya keadaan jerebu kekal pada tahap semasa.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan tersebut dibuat selepas satu mesyuarat melibatkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
Menurut beliau, kesemua pihak terlibat adalah antara anggota jawatankuasa utama sambutan Hari Kebangsaan.
“Keputusan yang dibuat ialah sekiranya keadaan kekal seperti pagi ini dan semalam, kita akan meneruskan acara pada Isnin,” katanya pada sidang media selepas raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Jelas Fahmi, keadaan jerebu akan terus dipantau dan dinilai dari semasa ke semasa, termasuk kemungkinan melaksanakan operasi pembenihan awan bagi membantu mengawal keadaan cuaca.
“Sekiranya pembenihan awan dilaksanakan, operasi berkenaan akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.
Bagaimanapun katanya, keberkesanan operasi bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai serta penilaian MetMalaysia terhadap keadaan cuaca semasa.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dijadual berlangsung di Dataran Putrajaya pada Isnin ini, bersempena ulang tahun ke-69 Hari Kebangsaan Malaysia. - Getaran, 29 Ogos 2026





