
PUTRAJAYA – Dataran Putrajaya di sini dijangka menerima kehadiran lebih 80,000 pengunjung sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8 pagi pada Isnin ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, susulan itu, kemudahan pengangkutan awam turut disediakan sepanjang sambutan bagi memudahkan orang ramai hadir ke Putrajaya.
“Pihak Prasarana juga menyediakan kemudahan pengangkutan Mass Rapid Transit (MRT) selama 24 jam, jadi ia memudahkan rakyat untuk datang,” katanya pada sidang akhbar selepas raptai penuh Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, perkhidmatan bas turut disediakan dari stesen MRT ke tapak sambutan selain kemudahan pengangkutan air atau water taxi.
Katanya, sambutan kali ini juga berpotensi menarik lebih ramai pengunjung berikutan ia berlangsung ketika cuti sekolah.
“Kita juga ambil maklum hari ini bermula cuti sekolah, jadi mungkin ada keluarga-keluarga yang akan mengambil kesempatan untuk hadir,” katanya.
Fahmi berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai perkhidmagan hotel dan tempat penginapan di sekitar Putrajaya juga sudah penuh
Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan ibu bapa yang membawa anak-anak kecil serta individu mempunyai masalah asma dan pernafasan supaya memakai pelitup muka, terutama jenis N95 susulan keadaan jerebu ketika ini.
Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) turut menasihatkan golongan berisiko supaya mengambil langkah berkenaan sejak masalah jerebu mula berlaku.
“Sejak bermula masalah jerebu, pihak KKM ada memberi nasihat terutama mereka yang berisiko seperti yang mempunyai masalah asma dan isu-isu pernafasan untuk memakai pelitup muka terutama N95.
“Kita telah sediakan pelitup muka untuk lebih 10,000 peserta dan setiap seorang diberikan dua pasang sekiranya mereka merasakan perlu memakai, mereka boleh memakainya,” katanya.
Menurut beliau, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan dan terpulang kepada individu mengikut keperluan masing-masing. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 80,000 dijangka meriahkan sambutan merdeka di Putrajaya appeared first on Kosmo Digital.





