
PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan acara perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya pada Isnin ini sekiranya keadaan jerebu kekal seperti hari ini dan semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang merupakan sebahagian daripada jawatankuasa induk Sambutan Hari Kebangsaan.
“Kita telah membuat keputusan bahawa sekiranya keadaan seperti sedia ada pada pagi ini dan semalam, kita akan teruskan dengan acara pada hari Isnin,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, penilaian keadaan jerebu akan dilakukan dari semasa ke semasa, termasuk melaksanakan pembenihan awan bagi memastikan cuaca terus terkawal yang akan diuruskan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Tambahnya, pelaksanaan pembenihan awan juga bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai selain tertakluk kepada penilaian Jabatan Meteorologi Malaysia. – UTUSAN
The post Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya diteruskan jika keadaan jerebu kekal appeared first on Utusan Malaysia.






