
SHAH ALAM, 16 SEPT: Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru seluruh rakyat terus memelihara perpaduan yang menjadi khazanah penting negara.
Beliau berkata keharmonian yang terbina dalam kalangan masyarakat majmuk perlu dipertahankan bagi memastikan Malaysia terus makmur dan sejahtera.
“Dari hujung Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak, perpaduan kita adalah khazanah yang harus dipelihara oleh seluruh rakyat.
“Dalam kehidupan masyarakat majmuk ini kita telah membina kehidupan yang bermaruah dan harmoni,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Amirudin berkata sejarah membuktikan perpecahan dan kebencian hanya membawa keburukan kepada rakyat serta negara.
Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia terus memperkukuh perpaduan selain menabur bakti demi kemajuan negara.
“Ayuh terus makmurkan bumi Malaysia dengan meneguhkan perpaduan, berbakti demi negara serta berkhidmat buat negara.
“Selamat Hari Malaysia,” katanya.






