
Patriotisme perlu wujud dalam setiap diri warganegara Malaysia. Perpaduan dalam kepelbagaian memberikan gambaran bahawa masyarakat Malaysia hidup dalam kerukunan selepas negara mencapai kemerdekaan, walaupun berbeza demografi.
Semasa sambutan Hari Kebangsaan, semangat kebersamaan yang merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak perlu terus diperkukuh.
Cabaran perlu diharungi dengan kesatuan, kebersamaan dan perpaduan demi kepentingan tanah air tercinta.
Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 merupakan peristiwa penting dalam sejarah negara. Peristiwa tersebut menunjukkan kewibawaan dan kesepakatan pemimpin pelbagai kaum termasuk Sarawak dan Sabah membina sebuah negara berdaulat.
Kini, masyarakat perlu disemarakkan dengan sejarah penubuhan Malaysia dan tidak menunggu sehingga ketibaan detik 16 September saban tahun.
Asas kekuatan Malaysia yang terbina sejak dahulu merupakan warisan unggul hasil daripada kefahaman dan sikap tolak ansur dalam kalangan parti politik.
Generasi kini seharusnya menghargai jasa dan keringat pejuang kemerdekaan terdahulu.
Sesebuah negara hanya berupaya menawarkan kemajuan dan kemakmuran apabila rakyatnya hidup dalam kerukunan serta mengamalkan budaya menghormati bersama.
Sejarah dan warisan masyarakat majmuk perlu menjadi pertimbangan dalam penggubalan serta pelaksanaan dasar negara.
Menjelang ulang tahun ke-63 pembentukan Malaysia, pelbagai cabaran dan rintangan telah dilalui. Usaha terus dilaksanakan bagi memastikan negara sentiasa berada di landasan betul dan kekal merdeka serta berdaulat.
Kepelbagaian yang tercipta adalah kekuatan untuk membina perpaduan bagi melangkah seiringan dalam memugar sebuah negara maju dan bersatu padu.
Kekusutan politik yang akan menjadi punca perbalahan dan perpecahan perlu dielakkan. Kita perlu bersatu hati atas nama perpaduan serta usaha membina kestabilan negara.
Rukun Negara menjadi kekuatan negara dan perlu dipertahankan sebagai asas nilai bersama dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Lima prinsip tersebut menjadi asas nilai bersama yang merentasi kepelbagaian etnik, budaya dan agama di Malaysia.
Perpaduan menjadi teras penting ke arah cita-cita membina bangsa dan negara Malaysia. Rukun Negara adalah sebahagian inisiatif kerajaan untuk menyemai dan memperkasakan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa.
Justeru, Rukun Negara menjadi asas penting dalam membentuk warganegara yang berpegang kepada nilai bersama, walaupun berlainan latar belakang etnik, budaya dan agama.
Universiti juga berperanan penting dalam membina jiwa patriotik dalam kalangan mahasiswa.
Pemupukan semangat patriotisme di institusi pengajian tinggi (IPT) turut diterjemahkan melalui pembelajaran Mata Pelajaran Umum (MPU).
Pembelajaran MPU membawa mesej mengenai keharmonian etnik, jati diri dan kesukarelawanan. Hal ini demikian, kerana mahasiswa merupakan golongan berpendidikan tinggi yang mampu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
Dalam konteks Malaysia, sistem pendidikan dibentuk dalam usaha menzahirkan masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Perpaduan kaum adalah inti pati utama yang akan membawa kepada pembentukan integrasi nasional.
‘Rumah Malaysia’ yang menjadi idaman diharapkan dapat merangkum pelbagai kaum yang rencam, namun tetap mempunyai kesatuan utuh dan kental.
Pengertian terhadap kemerdekaan perlu diperluaskan. Bukannya merdeka itu hanya sekadar bebas daripada belenggu penjajahan. Sebagai seorang mahasiswa, anda perlu bertekad menjadi lebih baik daripada semalam. Anda juga perlu yakin bahawa tidak perlu sempurna menjadi mahasiswa yang bernilai.
Dalam konteks hari ini, Malaysia memiliki keunikan yang tersendiri dan menjadi salah satu daya tarikan seantero dunia.
Perpaduan adalah asas kepada pembinaan negara bangsa dan dipupuk amalannya dalam masyarakat berbilang kaum.
Masyarakat Malaysia mempunyai sikap penerimaan dalam kalangan pelbagai etnik. Sikap penerimaan yang ingin diwujudkan merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi bagi membolehkan setiap keunikan pelbagai etnik saling dikongsi, dihormati dan diterima sebagai lambang identiti kebangsaan.
Dalam menghadapi survival mendatang, kekuatan jati diri dan semangat patriotisme kental merupakan asas yang seharusnya dimiliki oleh para mahasiswa.
Mahasiswa yang berjiwa merdeka perlu dibina dengan mencari titik persamaan dan bukannya perbezaan. Sifat-sifat terpuji seperti kesetiaan dan rela berkorban untuk negara perlu dibajai.
Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) diharapkan dapat membuka ruang kebebasan dan demokrasi yang lebih luas kepada mahasiswa untuk berfikir, bersuara dan bertindak secara matang dalam kerangka patriotisme.
Langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluaskan kebebasan bersuara, berpersatuan dan menjalankan aktiviti mahasiswa diharapkan dapat membuka ruang kepada pembentukan aktiviti berwajah Malaysia serta menyuburkan patriotisme dalam kalangan mahasiswa.
Bagaimanapun, kebebasan yang diberikan perlu seiring dengan tanggungjawab dan keluhuran undang-undang. Segala tindakan yang bercanggah dan melibatkan pelanggaran salah laku akademik serta tatatertib tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan diharapkan dapat memperkukuh peranan IPT sebagai platform pembelajaran dan kecemerlangan.
Ini seterusnya akan memberikan ruang secukupnya kepada mahasiswa dan akademia untuk berfikir secara kritis serta mengemukakan pandangan. Hal yang demikian berupaya membawa kepada percambahan idea-idea baharu.
Sebagai seorang mahasiswa yang memiliki jati diri, pengertian kemerdekaan perlu dihayati dan diamalkan. Sikap dan keinginan perlu ke arah mengembangkan potensi diri, bertanggungjawab dan menyumbangkan tenaga serta buah fikiran bagi kepentingan masyarakat dan negara.
Semangat patriotik tidak muncul dengan sendiri, sebaliknya perlu disemarakkan, dipupuk dan dibina. Tujuannya agar terus berkembang dalam diri setiap warganegara khususnya generasi muda.
Mahasiswa kini perlu memiliki kemahiran kesukarelawanan dan mampu menterjemahkan ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat. Bak kata pepatah, ‘jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini’.
Mahasiswa perlu memahami bahawa kemerdekaan bukan sekadar catatan dalam sejarah. Mereka perlu berperanan sebagai jambatan penghubung kerukunan, menghormati perbezaan dan terus menyumbang kepada kepentingan masyarakat serta negara.
The post ‘Rumah Malaysia’ idaman perlu ada kesatuan utuh appeared first on Kosmo Online.






