
PETALING JAYA – Khidmat ‘gojek’ yang menjadi antara pilihan pengunjung untuk keluar masuk kawasan sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sepanjang penganjuran Formula Satu (F1) berdepan ‘ujian’ apabila beberapa penunggang dipercayai ditahan dalam operasi penguatkuasaan hari ini.
Menerusi beberapa perkongsian di Threads, gambar tular memaparkan deretan motosikal dipercayai digunakan untuk membawa penumpang diletakkan di tepi jalan, manakala sekumpulan individu dilihat duduk berhampiran lokasi berkenaan.
Turut kelihatan beberapa kereta dinaiki penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhampiran sekumpulan individu ditahan.
Seorang pengguna, @muse98_ yang memuat naik gambar tersebut memberi peringatan kepada penunggang lain supaya lebih berhati-hati.
“Hati-hati gojek, ada yang sudah tumbang,” tulisnya ringkas.
Sementara itu, seorang wanita mendakwa suaminya merupakan antara individu yang ditahan selepas menyedari lokasi lelaki berkenaan tidak berubah menerusi aplikasi penjejakan.
“Suami saya salah seorang. Sejam lokasi tidak bergerak dalam Life360. Kami risau kenapa, rupanya kena tahan JPJ,” katanya.
Terdapat juga dakwaan bahawa sehingga 25 motosikal disita, namun jumlah berkenaan belum dapat disahkan secara rasmi setakat ini.
Fenomena ‘gojek’ sekitar SIC menjadi perhatian sejak beberapa hari lalu apabila penunggang motosikal persendirian dilihat menawarkan khidmat membawa pengunjung.
Perkhidmatan itu ditawarkan bagi mengelak kesesakan lalu lintas luar biasa dan kesukaran mendapatkan pengangkutan ketika acara berlangsung. – KOSMO! ONLINE
The post Hari terakhir F1, ramai gojek ‘tumbang’ appeared first on Kosmo Online.






