Harimau belang masuk perangkap selepas lima hari dipasang

LocalEnvironment
24 Jul 2026 • 8:06 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Harimau belang masuk perangkap selepas lima hari dipasang

IPOH – Seekor harimau belang betina dianggarkan seberat 94 kilogram berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Hulu Kinta, di sini Rabu lalu.

Perangkap berkenaan dipasang di sebuah kandang lembu persendirian berhampiran kawasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh susulan aduan mengenai kehadiran haiwan pemangsa itu di kawasan berkenaan.

Pengarah Perhilitan Perak, Mohd. Taufik Abdul Rahman berkata, haiwan pemangsa itu disedari memasuki perangkap pada pukul 12.40 tengah hari selepas perangkap berkenaan dipasang sejak 17 Julai lalu.

Menurut beliau, perangkap tersebut dipasang susulan aduan diterima daripada pemilik kandang lembu di kawasan berkenaan yang mendakwa ternakan mereka diserang harimau.

“Harimau betina yang dianggarkan berusia tidak melebihi 10 tahun itu berada dalam keadaan sihat dan hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka.

“Harimau berkenaan akan dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi menangkap harimau itu turut mendapat bantuan dan pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan sepanjang operasi.

Dalam pada itu, Mohd. Taufik menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan berkaitan kehadiran hidupan liar kepada Perhilitan serta tidak mengambil tindakan sendiri.

“Tindakan mencederakan atau membunuh hidupan liar bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah haiwan yang cedera boleh menjadi lebih agresif dan membahayakan keselamatan manusia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Harimau belang masuk perangkap selepas lima hari dipasang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved