
SHAH ALAM, 1 OKT: Harimau Malaya menutup saingan Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kemenangan bergaya selepas membelasah Singapura 6-0 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung malam ini.
Bagaimanapun, kemenangan besar itu belum cukup untuk membawa Malaysia muncul juara kumpulan apabila Indonesia turut mencipta kemenangan 9-2 ke atas Bangladesh dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Malaysia dan Indonesia mengumpul jumlah mata sama, namun kelebihan perbezaan gol memihak kepada skuad Sang Garuda sekali gus menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe terpaksa berpuas hati di tangga kedua.
Harimau Malaya membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi sepakan penalti Bergson da Silva selepas Fergus Tierney dijatuhkan Ryhan Stewart. Pengadil dari Korea Selatan, Kim Jing Hyeok menghadiahkan penalti selepas membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Singapura hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi Song Ui-yong, namun Syihan Hazmi berjaya menepis percubaan itu. Penjaga gol Malaysia itu sekali lagi menyelamatkan gawang daripada rembatan Kyoga Nakamura pada minit ke-20 dan Harhys Stewart pada minit ke-33.
Malaysia menggandakan kelebihan pada minit ke-26 apabila Stuart Wilkin mudah menyudahkan hantaran Manuel Hidalgo yang terlebih dahulu melakukan gelecekan menarik melepasi tiga pemain Singapura.
Memasuki babak kedua, Harimau Malaya terus menggandakan asakan sebelum Bergson meledak gol keduanya pada minit ke-62 hasil hantaran Arif Aiman Hanapi untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Paulo Josue yang dimasukkan sebagai pemain gantian kemudian menambah gol keempat pada minit ke-75 sebelum Syahir Bashah menjaringkan gol kelima ketika perlawanan berbaki empat minit.
Bergson melengkapkan malam gemilangnya dengan gol ketiga peribadi dan keenam Malaysia bagi mengesahkan kemenangan 6-0 ke atas Singapura.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua dan kini akan meneruskan cabaran dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala ASEAN FIFA 2026 pada 5 Oktober ini.





