Harimau Malaya tanpa khidmat Jimmy Raymond hadapi Filipina

LocalFootball
4 Aug 2026 • 9:32 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Harimau Malaya tanpa khidmat Jimmy Raymond hadapi Filipina

Harimau Malaya tanpa Jimmy Raymond yang cedera buku lali ketika berdepan Filipina, sekali gus menambah senarai pemain yang terpaksa diketepikan.

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya kehilangan khidmat pertahanan Jimmy Raymond dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala ASEAN menentang Filipina selepas pemain Kuching City FC itu mengalami kecederaan buku lali ketika tewas kepada Thailand pada Sabtu.

Ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe berkata penilaian perubatan terkini mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu akan diketepikan sehingga diberitahu kelak, sekali gus menjadi satu lagi tamparan kepada skuad kebangsaan.

“Endrick (dos Santos) pasti tidak akan beraksi. Selain itu, kita juga menerima laporan perubatan Jimmy yang mengesahkan pemain itu tidak dapat bermain dalam perlawanan akan datang.

“Ia satu kehilangan besar kerana kedua-duanya merupakan tonggak pasukan. Saya berharap kecederaan Jimmy tidak terlalu serius. Ia sememangnya sesuatu yang membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di sini hari ini.

Cheng Hoe berkata barisan kejurulatihan kini sedang menilai pilihan pemain yang ada bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Jimmy, namun mengakui kekangan masa menyukarkan usaha membawa masuk pemain gantian.

“Barisan kejurulatihan ada membincangkan pemain yang berpotensi mengambil alih peranan itu, namun disebabkan masa yang kian suntuk, sukar untuk memanggil pemain lain. Kami berharap skuad sedia ada dapat terus fokus dan mengekalkan tahap kecergasan menjelang perlawanan menentang Filipina,” katanya.

Malaysia sudah kehilangan pemain tengah Endrick dos Santos yang mengalami kecederaan ligamen kolateral medial (MCL) ketika perlawanan menentang Laos minggu lepas.

Pasukan kebangsaan kini berada di tempat kedua dalam Kumpulan B dengan mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan, selepas mencatat kemenangan ke atas Laos dan Myanmar sebelum tewas kepada Thailand.

Meskipun Filipina mengalami kekalahan mengejut kepada Myanmar dalam aksi sebelum ini, Cheng Hoe mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah terhadap keupayaan lawan.

“Kita tidak boleh memandang rendah Filipina. Mereka mempunyai beberapa pemain yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia, jadi mereka mengetahui kekuatan pasukan kita. Jentera serangan mereka juga berbahaya,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Daryl Sham percaya Harimau Malaya mampu bangkit untuk meraih kemenangan ke atas Filipina bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala ASEAN.

“Kami akan membuat persiapan yang lebih rapi untuk menghadapi Filipina. Saya yakin kami akan mara ke separuh akhir jika memberikan aksi terbaik,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved