Wan Kuzain sedia hadapi asakan Thailand

FootballSports
31 Jul 2026 • 8:41 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wan Kuzain sedia hadapi asakan Thailand

SEPANG: Selepas mencipta impak segera bersama Harimau Malaya, Wan Ahmad Kuzain Wan Ahmad Kamal bersedia menghadapi ujian lebih getir setakat ini apabila berdepan Thailand dalam aksi penting Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.

Tonggak berusia 27 tahun itu tampil meyakinkan dalam dua penampilan awalnya bersama skuad kebangsaan, termasuk meledak gol sulung ketika membantu Malaysia membenam Laos 4-0, namun sedar cabaran sebenar menantinya di Bangkok.

Bagi Wan Kuzain, tekanan yang hadir menjelang pertemuan menentang juara tujuh kali itu bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya menjadi pemangkin untuk mengeluarkan kemampuan terbaik di atas padang.

Pemain Sporting JAX itu mengakui setiap pemain yang diberi peluang menyarung jersi negara pasti berdepan harapan tinggi daripada penyokong, namun memilih untuk melihat tekanan tersebut dari sudut positif.

“Anda selalu dengar orang kata tekanan itu satu keistimewaan, bukan? Terutamanya apabila saya membesar di Amerika Syarikat (AS), saya faham apa maksudnya.

“Saya berpeluang menjalani kehidupan yang baik berbanding apa yang terpaksa dilalui sesetengah orang contohnya di Malaysia, Laos atau Myanmar.

“Jadi saya memahami perkara itu. Tekanan ini adalah tekanan yang baik, tekanan yang anda mahukan apabila bermain sukan,” katanya.

Bekas pemain skuad remaja Amerika Syarikat itu berkata, harapan yang diberikan oleh penyokong dan seluruh negara perlu diterjemahkan kepada motivasi untuk terus bekerja keras serta meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.

“Kami gunakan tekanan itu sebagai motivasi untuk terus bergerak ke hadapan dan terus melakukan perkara yang baik,” ujarnya.

Selepas menamatkan penantian tujuh tahun untuk melakukan penampilan sulung bersama Harimau Malaya, Wan Kuzain kini semakin selesa menyesuaikan diri dengan corak permainan diterapkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Jaringan menerusi sepakan percuma ketika menentang Laos bukan sahaja melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia, malah melonjakkan keyakinannya menjelang pertembungan yang dijangka menjadi penentu awal kedudukan kumpulan. – UTUSAN

The post Wan Kuzain sedia hadapi asakan Thailand appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved