
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pelawak, Harith Iskander serta Cecelia Yap Song masing-masing dikompaun RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam satu kenyataan bertarikh 5 Mac berkata, pihaknya telah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan tindakan kompaun tersebut atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook, pada 18 Januari 2025.
“Tindakan kompaun itu akan dikenakan ke atas Harith Iskander dan Cecelia Yap di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.”
Kandungan sudah diturunkan Meta
Tambah MCMC lagi, kandungan yang dimuat naiknya juga telah diturunkan oleh Meta setelah menerima permohonan MCMC.
Bukan itu sahaja permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat.
“Permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta,” kata MCMC dalam kenyataan sama.
MCM kemuka kertas siasatan berhubung video persenda agama Hindu
Dalam perkembangan lain, MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok, 6 Mac berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio ERA FM.
“Susulan kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam. Satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.”
Tambahnya, rakaman percakapan pihak terlibat dibuat bagi membantu siasatan.
Selain itu satu Notis Niat bagi penggantungan lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio ERA FM.
“Pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.”



