Hartanah perindustrian, logistik dipercayai bakal menyokong prospek CapitaLand, kata penganalisis

18/04/2025 - 11:56
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 18 April — Kemasukan lebih banyak hartanah perindustrian dan logistik dijangka meningkatkan prospek dan mengukuhkan portfolio CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) susulan semakan kadar sewa, konsep runcit baharu serta campuran penyewa yang lebih baik.
Penganalisis secara am turut masih positif terhadap kemajuan syarikat amanah pelaburan hartanah (REIT) tersebut yang memang terkenal dengan pengurusan hartanah melibatkan pelbagai pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) mengekalkan saranan “beli” ke atas CLMT dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 75 sen sesaham serta menilai saluran hartanah perindustrian dan logistik tersebut menunjukkan peningkatan tambahan.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pengurusan syarikat berkenaan masih lagi dilihat berhati-hati untuk optimis terhadap prospek sepanjang tahun ini selepas mengeluarkan keputusan kewangannya bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025, pada Rabu.
"Peningkatan dalam bahagian hartanah perindustrian dan logistik di bawah REIT tersebut kepada 7.9 peratus berbanding 2.8 peratus semasa akan menyumbang sebanyak sembilan peratus kepada pendapatan hartanah bersih tahun depan," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimananapun, Maybank IB berkata, portfolio runcit CLMT kekal berdaya tahan, dengan jualan penyewa pada suku pertama 2025 meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) selain menjangkakan semakan sewa tahun ini kekal dalam julat satu digit pertengahan hingga tinggi.
Keadaan itu katanya, disokong oleh faktor pembaharuan pusat membeli-belah berprestasi tinggi di luar Lembah Klang dalam masa terdekat sambil menambah bahawa ia mengekalkan ramalannya untuk REIT tersebut sementara menunggu penambahan hartanah perindustrian dan logistik.
TA Securities, yang turut mengekalkan saranan “beli” ke atas REIT berkenaan dengan TP sebanyak 82 sen, berkata bahawa pemerolehan industri dan logistik itu sejajar dengan strategi CLMT untuk meningkatkan daya tahan portfolio serta keterlihatan pendapatan.
"Selain itu, mereka datang dengan klausa penyewaan terbina secara dalam, langkah yang akan menyokong pertumbuhan sewa masa depan serta pengurusannya kekal komited untuk mengenal pasti peluang pendapatan menerusi ruang industri dan logistik," katanya.
Firma penyelidikan itu turut merujuk pengurusan modal oleh CLMT selama ini yang berhemat untuk menyampaikan pulangan mampan kepada pemegang unit serta proses pengambilalihan premis terletak di Johor dan Selangor yang dijangka siap pada separuh kedua 2025.
Bagi portfolio pusat beli-belahnya, TA Securities berkata, CLMT terus menikmati sokongan untuk pusat beli-belah di luar Lembah Klang, yang mempunyai tahap penghunian melebihi 99 peratus manakala semakan sewa runcit kekal teguh pada 12.4 peratus pada suku pertama 2025.
Angka tersebut bertambah baik daripada 11.3 peratus pada tahun lepas dan firma itu berkata, pengurusan CLMT turut melihat kesan kenaikan kadar tarif elektrik di Semenanjung Malaysia yang dijangka berkuat kuasa 1 Julai 2025 akan terkawal secara relatif.
Keadaan itu katanya, disebabkan kos utiliti yang lebih tinggi akan diserapkan kepada penyewa melalui peningkatan caj perkhidmatan dan ia turut mengekalkan saranan "tambah" pada CLMT dengan TP sebanyak 82 sen sesaham. - DagangNews.com
standard

