Kerjaya Prospek diunjur capai margin bersih sehingga 10% daripada projek Pulau Andaman, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
16 Apr 2025 • 2:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerjaya Prospek diunjur capai margin bersih sehingga 10% daripada projek Pulau Andaman, kata RHB Research

image is not available

16/04/2025 - 14:27

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - Kerjaya Prospek Group Bhd diunjur mencapai margin bersih antara 9% hingga 10% bagi projek Fasa Tiga dan Empat Senna & Fera, yang merupakan sebahagian daripada pembangunan Pulau Andaman di Pulau Pinang.

Katanya, syarikat itu baru-baru ini memperoleh kontrak kelimanya bagi tahun kewangan 2025 (FY25) bernilai RM98 juta daripada anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O).

RHB Research berkata, selain daripada kejayaan terbaharu itu, sekitar RM1.1 bilion nilai pembangunan kasar (GDV) masih dijadualkan untuk dilancarkan tahun ini bagi menyokong sasaran pelancaran bernilai RM2 bilion oleh E&O untuk projek Pulau Andaman.

“Sehubungan itu, potensi nilai pembinaan daripada pelancaran ini boleh mencecah RM440 juta, dengan andaian kos pembinaan merangkumi 40% daripada jumlah GDV,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu juga berkata kerja-kerja penggalian dan penambakan tambahan bernilai lebih RM300 juta dijangka tersedia bagi Fasa 2B dan 2C projek Pulau Andaman.

“Antara tahun 2026 hingga 2030, E&O menyasarkan untuk membangunkan hartanah bernilai RM3.8 bilion dari segi GDV, yang berkemungkinan membawa kepada nilai pembinaan sekitar RM1.5 bilion.

“Kami menjangkakan permintaan terhadap hartanah kediaman di Pulau Pinang akan kekal kukuh, dengan data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan lebihan bekalan projek kediaman di Pulau Pinang semakin berkurang antara 2022 hingga 2024,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, selepas menerima kontrak terbaharu itu, buku pesanan pembinaan Kerjaya Prospek telah mencapai RM4.4 bilion, dengan jumlah kemenangan kerja baharu setakat ini berjumlah RM610 juta — berbanding sasaran penambahan kerja bagi FY25 sebanyak RM1.6 bilion.

Katanya, tiada perubahan terhadap unjuran pendapatan syarikat, memandangkan kontrak yang diperoleh baru-baru ini masih berada dalam anggaran penambahan kerja yang telah diunjurkan bagi FY25.

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.67 sesaham," katanya. - DagangNews.com

standard