Hasil aktiviti haram: Surirumah nafi terima lebih RM1.3 juta

LocalPolitics
31 Oct 2025 • 3:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang suri rumah berumur 31 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis, atas lima pertuduhan menerima lebih RM1.3 juta yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram berkaitan pelaburan emas terpakai.

Norhafiza Abbas membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya oleh jurubahasa mahkamah.

Dalam pertuduhan pertama, Norhafiza didakwa menggunakan akaun Maybank Islamic Berhad bernombor 560036122604 milik Abbas Family Enterprise (AFE) untuk menerima wang berjumlah RM193,000 dari akaun Maybank milik Zerina Collection Sdn Bhd (ZCSB) yang merupakan hasil aktiviti haram pada 20 Mei 2023 hingga 7 Jun 2023.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menggunakan akaun sama untuk menerima wang berjumlah RM806,250 daripada akaun Maybank ZCSB yang merupakan hasil aktiviti haram pada 21 Mei 2023 hingga 8 Jun 2023.

Dalam pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa nenggunakan akaun AFE untuk menerima RM209,573.50 daripada akaun Public Islamic Bank milik ZCSB pada 23 Mei 2023 hingga 15 Julai 2023, juga hasil aktiviti haram.

Untuk pertuduhan keempat, Norhafiza turut didakwa menggunakan akaun AFE untuk menerima wang berjumlah RM23,500 dari akaun Maybank milik ZCSB pada 25 Mei 2023, hasil aktiviti haram.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa menggunakan akaun AFE untuk menerima wang berjumlah RM80,000 dari akaun Public Bank milik ZCSB yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 18 Julai 2023.

Semua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya di Maybank Islamic Berhad Cawangan Tawau, Jalan Mahkamah.

Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan, namun Norhafiza merayu agar wang jaminan dikurangkan memandangkan dia hanya seorang suri rumah dan akaun banknya juga sudah dibekukan sejak 2023.

Menurutnya, dia juga sudah tiga tahun turun naik mahkamah bagi menghadapi enam pertuduhan predikat yang dikenakan terhadapnya.

Dia, yang menangis teresak-esak semasa merayu, turut memberitahu mahkamah bahawa dua anaknya menghidap penyakit jantung berlubang dengan temujanji doktor dijadual pada November depan.