Hasil FM Global Logistics di India hampir berganda ketika pasaran AS merosot 41%

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 3:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil FM Global Logistics di India hampir berganda ketika pasaran AS merosot 41% Image from: Hasil FM Global Logistics di India hampir berganda ketika pasaran AS merosot 41% sarah24/11/2026 - 15:03 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - India semakin penting sebagai pasaran antarabangsa FM Global Logistics Holdings Berhad apabila hasil daripada pelanggan luar di negara itu melonjak 94.6% kepada RM24.98 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), ketika hasil operasinya di Amerika Syarikat (AS) merosot 40.8%.

 

Pertumbuhan daripada RM12.84 juta pada suku sama tahun lalu menjadikan India pasaran luar negara kedua terbesar kumpulan selepas Australia, mengatasi Indonesia, Thailand dan AS.

 

Keuntungan sebelum cukai operasi India turut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.01 juta berbanding RM505,000 dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Sebaliknya, hasil daripada pelanggan luar di AS menyusut kepada RM8.59 juta daripada RM14.52 juta, manakala keuntungan sebelum cukai operasi di negara itu merosot 74.3% kepada RM132,000 berbanding RM513,000.

 

Pasaran Asia dan Australia sokong pertumbuhan

Selain India, hasil daripada pelanggan luar di Thailand meningkat 30.8% kepada RM11.28 juta, diikuti Australia sebanyak 29.7% kepada RM26.74 juta dan Indonesia sebanyak 12.3% kepada RM19.81 juta.

 

Malaysia kekal sebagai pasaran terbesar kumpulan dengan hasil daripada pelanggan luar meningkat 27.2% kepada RM189.15 juta, mewakili kira-kira 65% daripada keseluruhan hasil kumpulan.

 

Bagaimanapun, operasi di Vietnam dan Singapura turut mencatatkan penurunan hasil daripada pelanggan luar masing-masing sebanyak 13.7% dan 26.1%.

 

FM Global Logistics dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kumpulan akan terus memperkukuh kedudukannya di pasaran serantau dengan memperluas rangkaian perniagaan dan asas pelanggan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

 

Penghantaran kargo antarabangsa penyumbang utama

Perniagaan penghantaran kargo antarabangsa mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 27% kepada RM228 juta berbanding RM179.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu, menyumbang 78.4% daripada keseluruhan hasil kumpulan.

 

Segmen logistik domestik pula mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 14% kepada RM63 juta daripada RM55.4 juta, manakala kumpulan mempunyai komitmen perbelanjaan modal sebanyak RM7.49 juta, terutama bagi pemerolehan lori dan peralatan gudang.

 

Keuntungan bersih meningkat kepada RM9.02 juta

Bagi 1QFY27 berakhir 30 September 2026, FM Global Logistics mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.02 juta berbanding RM8.71 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keseluruhan hasil meningkat 24% kepada RM291.03 juta daripada RM235.22 juta.

 

Lembaga pengarah kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak satu sen sesaham bagi FY27, yang akan dibayar pada 24 Disember 2026.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved