sarah23/11/2026 - 11:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Kerajaan hanya dijangka mula menerima kutipan hasil Cukai Minimum Global (GMT) selepas Jun 2027, walaupun pelaksanaannya telah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2025, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Beliau berkata, kelewatan kutipan itu disebabkan tempoh pelaporan kewangan syarikat multinasional yang tertakluk kepada cukai berkenaan, dengan tarikh akhir pengemukaan dan pembayaran ditetapkan 18 bulan selepas tamat tempoh penyata kewangan disatukan.
Menurutnya, GMT diperkenalkan bagi memastikan kumpulan syarikat multinasional besar yang mencatatkan hasil pendapatan global sekurang-kurangnya €750 juta (RM3.39 bilion) setahun membayar cukai pada kadar efektif minimum 15% di setiap negara mereka beroperasi.
"Pelaksanaan GMT dijangka memberi impak positif kepada kedudukan kewangan negara. Namun, kutipan hasil cukai di bawah GMT hanya akan diperoleh selepas Jun 2027 berdasarkan tempoh pelaporan kewangan kumpulan syarikat multinasional yang tertakluk kepada pembayaran cukai tokokan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai jumlah GMT yang dikutip sejak pelaksanaannya pada 2025 dan sama ada kerajaan bercadang mengurangkan cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada 15% bagi memastikan persaingan lebih adil dengan syarikat antarabangsa.
Cukai PMKS dikurangkan mulai 2027
Mengulas mengenai cukai PMKS, Chin Tong berkata, kerajaan melalui Belanjawan 2027 telah mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan mulai tahun taksiran 2027.
Katanya, kadar cukai bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai akan dikurangkan daripada 15% kepada 14%, manakala pendapatan bercukai antara RM150,001 hingga RM600,000 dikenakan kadar 16% berbanding 17% sebelum ini.
"Pengurangan kadar cukai ini dijangka memberi penjimatan cukai sehingga RM6,000 kepada PMKS, membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan aliran tunai syarikat," katanya.
Lebih 65 negara laksana Cukai Minimum Global
Chin Tong berkata, GMT merupakan inisiatif Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bersama negara anggota G20 bagi menangani amalan syarikat multinasional memindahkan keuntungan ke negara yang mengenakan cukai rendah atau sifar.
Menurutnya, lebih 135 negara dan bidang kuasa bersetuju memperkenalkan GMT pada Oktober 2021, manakala kira-kira 65 negara dan bidang kuasa telah melaksanakan peraturan itu setakat Oktober 2026, dengan Malaysia antara negara yang melaksanakannya mulai Januari 2025.
Insentif pelaburan kini berdasarkan enam kriteria
Dalam perkembangan berkaitan, Chin Tong turut menjelaskan bahawa kerajaan telah memperkenalkan Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) mulai 1 Mac 2026 bagi memastikan insentif pelaburan diberikan berdasarkan sumbangan sebenar pelaburan kepada ekonomi negara.
Menurut beliau, di bawah rangka kerja itu, setiap pelaburan perlu dinilai menggunakan kad skor yang merangkumi enam kriteria, termasuk tahap kerumitan dan nilai tambah kepada ekonomi serta jumlah pekerja tempatan yang diambil bekerja.
Beliau berkata, insentif hanya diberikan kepada pelaburan yang mencapai skor ditetapkan dan memenuhi keperluan kerajaan, sekali gus memastikan manfaat pelaburan tidak hanya tertumpu kepada jumlah modal yang dibawa masuk tetapi turut mengambil kira peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi tempatan.- DagangNews.com





