amree27/07/2026 - 16:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Julai – JS Solar Holding Berhad mencatatkan penurunan pendapatan yang ketara kira-kira 48.2% kepada sebanyak RM96.65 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).
Kemerosotan prestasi ini berbanding RM186.53 juta hasil diraih pada tahun sebelumnya, menyaksikan syarikat merekodkan kerugian bersih RM1 juta, daripada keuntungan bersih RM8 juta pada FY25.
Kelemahan tersebut ujar kumpulan itu dipengaruhi oleh sumbangan lebih rendah segmen perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta perkhidmatan kontrak.
"Kos bahan mentah yang lebih tinggi dan perbelanjaan penyenaraian turut menjejaskan pertumbuhan syarikat pada tahun kewangan berkenaan," jelas JS Solar dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, margin keuntungan kasar (GP) kumpulan tersebut turut susut kepada 10.2% daripada 12.6% disebabkan kenaikan harga komponen utama seperti modul solar susulan perubahan polisi di China.
Sementara itu ujarnya, hasil segmen EPCC merosot 29.4% kepada RM73.54 juta, mencerminkan kemajuan projek yang lebih perlahan dan kerja penyiapan projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

JS Solar menambah, hasil segmen perkhidmatan kontrak menjunam 72.5% kepada RM22.65 juta berikutan penyiapan kontrak pembekalan utama bagi projek 50 MWac di Kulim Hi-Tech Park, Kedah pada Mac 2025.
"Bagaimanapun pendapatan segmen perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M) mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak RM0.46 juta, naik 557.1% susulan peningkatan kontrak EPCC," katanya.
Keuntungan syarikat namun terjejas oleh kos penyenaraian berjumlah RM1.87 juta serta kerugian rosak nilai bersih pada aset kewangan, dengan turut berdepan liabiliti cukai daripada anak syarikat.
Ujar JS Solar, kumpulan berkenaan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 September 2025, dan sudah mempunyai buku tempahan pelbagai projek yang berjumlah RM48.30 juta setakat 31 Mac 2026.
Bergerak ke hadapan, kumpulan komited aktif dalam program tenaga boleh diperbaharui (RE) kerajaan, sambil mengekalkan disiplin pengurusan kos bagi menangani ketidaktentuan pasaran. - DagangNews.com






