hamden17/11/2026 - 12:07 Kredit gambar/ Malaysia Rail Link Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov – Perkhidmatan kargo dijangka menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila operasinya mencapai tahap matang, dengan hasil segmen itu diunjurkan melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM214 juta pada 2029 berbanding RM68 juta pada 2027.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, peningkatan hasil kargo itu dijangka menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan pendapatan ECRL, yang merangkumi perkhidmatan penumpang dan kargo, kepada RM418 juta pada 2029 berbanding RM260 juta pada 2027.
Beliau berkata, berdasarkan kajian perunding yang dijalankan antara 2020 hingga 2025, hasil perkhidmatan penumpang dijangka meningkat secara berperingkat daripada RM192 juta pada 2027 kepada RM198 juta pada 2028 dan RM204 juta pada 2029.
Sebaliknya, hasil kargo diunjurkan meningkat daripada RM68 juta pada 2027 kepada RM71 juta pada 2028 sebelum melonjak kepada RM214 juta pada 2029, selaras dengan pembukaan jajaran landasan dan kemudahan kargo secara berperingkat.
"Dalam jangka panjang, perkhidmatan kargo dijangka menjadi penyumbang utama kepada hasil ECRL, dengan sasaran kira-kira 70% daripada kargo dan 30% daripada penumpang apabila operasi mencapai tahap matang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan anggaran perbelanjaan pembangunan Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat pada 16 November.
Manfaat ekonomi lebih luas
Hasbi berkata, ECRL turut dijangka menjana manfaat ekonomi lebih luas menerusi peningkatan aktiviti perdagangan, pembangunan industri, pembangunan berorientasikan transit, pelaburan baharu serta pengukuhan hubungan logistik antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan masih belum memuktamadkan kadar tambang khas ECRL bagi individu berdaftar di bawah sistem eKasih dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Hasbi berkata, kemudahan diskaun sedia ada merangkumi potongan tambang sebanyak 50% untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak, manakala pelajar menikmati diskaun sebanyak 40%.
Selain itu, cadangan pakej tambang keluarga dan penetapan had maksimum tambang ketika musim perayaan turut akan dikaji.
Kerajaan juga akan meneliti pelaksanaan sistem penetapan harga dinamik berdasarkan permintaan, kapasiti serta tempoh pembelian tiket. - DagangNews.com




