Projek solar LSS5 pacu keuntungan bersih Solarvest melonjak 27% kepada RM24.61 juta pada 2QFY27

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 2:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek solar LSS5 pacu keuntungan bersih Solarvest melonjak 27% kepada RM24.61 juta pada 2QFY27 Image from: Projek solar LSS5 pacu keuntungan bersih Solarvest melonjak 27% kepada RM24.61 juta pada 2QFY27 hamden17/11/2026 - 14:43 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Peningkatan hasil daripada projek solar berskala utiliti susulan pelaksanaan Skim Solar Berskala Besar 5 (LSS5) menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan keuntungan Solarvest Holdings Bhd sebanyak 27% kepada RM24.61 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2027 (Q2FY27).

 

Kumpulan tenaga boleh diperbaharui (TBB) itu berkata, pertumbuhan berkenaan turut disokong peningkatan sumbangan keuntungan daripada projek berskala utiliti serta bahagian keuntungan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Solarvest berkata, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 24.9% kepada RM33.47 juta bagi suku berakhir 30 September 2026.

 

Keuntungan bersih kumpulan itu meningkat daripada RM19.38 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya kepada RM24.61 juta.

 

Sementara itu, keuntungan bersih yang boleh disumbangkan kepada pemilik syarikat turut meningkat kepada RM25.25 juta berbanding RM18.73 juta bagi suku sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Dari segi hasil, Solarvest mencatatkan peningkatan 50.6% kepada RM255.16 juta berbanding RM169.47 juta pada Q2FY26.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 September 2026 (6MFY27), keuntungan bersih kumpulan meningkat 20.8% kepada RM43.03 juta berbanding RM35.63 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Hasil bagi tempoh berkenaan turut meningkat 33.8% kepada RM411.09 juta berbanding RM307.21 juta sebelumnya.

 

Pesanan belum diiktiraf RM2.18 bilion sokong prospek

 

Mengulas prospek, Solarvest kekal optimis terhadap perkembangan perniagaannya susulan momentum positif industri TBB Malaysia yang menyasarkan kapasiti TBB sebanyak 70% menjelang 2050 dan 35% bagi sektor kuasa menjelang 2030.

 

Setakat 30 September 2026, kumpulan mempunyai nilai pesanan belum diiktiraf berjumlah RM2.184 bilion yang dijangka diiktiraf secara berperingkat dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 dan 2028.

 

Selain itu, pengenalan Pakej Pemecutan CRESS oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada Oktober 2026, dengan kadar Caj Capaian Sistem (SAC) tetap sebanyak 14 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh), dijangka meningkatkan kepastian aliran tunai serta kebolehbankan projek di bawah skim berkenaan.

 

Projek CRESS itu disasarkan siap menjelang Disember 2028.

 

Permintaan daripada sektor pusat data turut membuka peluang pertumbuhan apabila kerajaan menetapkan syarat supaya pusat data menggunakan sekurang-kurangnya 30% tenaga boleh baharu, sekali gus meningkatkan potensi pembangunan kemudahan solar untuk kegunaan sendiri dan penyertaan dalam skim CRESS.

 

LSS6 dan Solar ATAP sasar perluas pesanan

Dalam usaha memperluas nilai pesanan, Solarvest turut memberi tumpuan kepada peluang menerusi program LSS6, CRESS dan Program Tindakan Peralihan Solar Diterajui (Solar ATAP).

 

Sementara itu, menerusi program Powervest, kumpulan telah memperoleh kapasiti terkumpul sebanyak 119 megawatt puncak (MWp) melalui perjanjian pembelian tenaga korporat.

 

Kapasiti itu dijangka menyumbang hasil berulang tahunan sebanyak RM49 juta apabila projek berkenaan siap sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved