Hasil Kawan Food pada 1QFY25 susut 12.6% kepada RM70.5 juta disebabkan permintaan eksport lemah

LocalBusiness & Finance
27 May 2025 • 6:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Kawan Food pada 1QFY25 susut 12.6% kepada RM70.5 juta disebabkan permintaan eksport lemah

image is not available

27/05/2025 - 18:11

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 27 Mei – Hasil Kawan Food pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berkurang 12.6% kepada RM70.5 juta berbanding RM80.6 juta pada tahun sebelumnya, dipengaruhi jualan eksport yang lemah terutamanya di Amerika Utara dan China, selain kesan penyusutan dolar AS berbanding ringgit Malaysia.

Untung bersih kumpulan menyusut kepada RM4.7 juta berbanding RM9.2 juta pada 1QFY24 berikutan permintaan pasaran eksport dan kerugian tukaran asing.

Bagaimanapun, pasaran domestik terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar hasil kumpulan RM44.1 juta atau 62.6% daripada jumlah keseluruhan.

Amerika Utara menyumbang RM8.6 juta (12.2%), Eropah dengan RM8.4 juta (11.8%) dan selebihnya dari Asia, Oceania serta Afrika.

Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan hasil 9.7% secara tahunan, mencerminkan permintaan kukuh terhadap makanan sejuk beku yang mudah dan berkualiti.

Pasaran Eropah dan Oceania masing-masing mencatatkan peningkatan 10.9% dan 13.7%, menyumbang kepada kestabilan prestasi kumpulan di rantau utama.

Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Pengerusi Emeritus Kawan Food, Gan Thiam Chai berkata, prestasi suku ini mencerminkan cabaran landskap global yang tidak menentu terutamanya impak pergerakan tukaran mata wang dan ketegangan geopolitik terhadap aktiviti eksport.

"Namun, jualan domestik kekal kukuh dan kami terus melihat sumbangan konsisten daripada rantau utama seperti Eropah dan Oceania.

"Asas perniagaan masih bertahan dan kami fokus untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran bagi menjamin kestabilan operasi.

"Tekanan margin dijangka berterusan dalam tempoh terdekat susulan ketegangan geopolitik dan peningkatan kos, namun kumpulan kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana dan panjang," katanya dalam satu kenyataan.

Langkah strategik sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan pasaran, memacu inovasi produk serta meningkatkan daya tahan bekalan dalam menyokong pertumbuhan domestik dan antarabangsa.- DagangNews.com

standard