Hasil MBSB susut kepada RM868 juta pada 1QFY25 disebabkan kelemahan pendapatan segmen pembiayaan

26/05/2025 - 16:30
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Mei - Hasil MBSB Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) susut sebanyak 2.8% kepada RM868 juta berbanding RM893.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan pendapatan lebih rendah daripada pinjaman, pembiayaan dan pendahuluan.
Kumpulan itu bagaimanapun mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM84.67 juta pada suku berkenaan, naik 8.1% berbanding RM78.34 pada 1QFY24.
Katanya, peningkatan itu disokong pendapatan pembiayaan bersih yang lebih tinggi dan peruntukan rosot nilai yang lebih rendah.
"Jumlah pembiayaan kasar kekal konsisten pada RM42.6 bilion, selaras dengan pendekatan pembiayaan berdisiplin yang diamalkan kumpulan mengikut dinamik pasaran semasa.
"Nisbah Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) Kumpulan telah meningkat kepada 9.26%, dengan pertambahan baki sebanyak RM700 juta sepanjang tahun, terutamanya daripada pelanggan komersial dan korporat," katanya dalam satu kenyataan.
Metrik kualiti aset menunjukkan peningkatan dengan nisbah pembiayaan terjejas kasar (GFIR) susut kepada 5.49%. Ia mencerminkan gabungan piawaian pengunderaitan yang dipertingkat, usaha pemulihan yang berfokus, dan profil risiko yang lebih seimbang merentasi segmen.
Margin keuntungan bersih kumpulan turut meningkat kepada 2.14%, mencerminkan sumbangan pendapatan yang lebih baik daripada aktiviti teras.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rafe Haneef berkata, prestasi suku itu mencerminkan hasil awal daripada pelan transformasi kumpulan dengan mereka sedang melihat penyelarasan yang lebih baik di setiap peringkat campuran pembiayaan yang lebih seimbang, dan prestasi pendapatan yang lebih konsisten.
"Penyepaduan dengan MIDF telah membuka keupayaan baharu dan mewujudkan peluang untuk menjangkau kumpulan pelanggan yang lebih luas.
"Semasa kami melangkah ke fasa seterusnya FLIGHT26, tumpuan kami kekal pada pelaksanaan—menyokong pelanggan dengan rumusan kewangan, meningkatkan produktiviti, dan mengekalkan disiplin kewangan di seluruh organisasi," katanya. - DagangNews.com
standard

