Kerugian segmen pembalakan, pendapatan Ta Ann pada 1QFY25 susut kepada RM40 juta

LocalBusiness & Finance
26 May 2025 • 9:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerugian segmen pembalakan, pendapatan Ta Ann pada 1QFY25 susut kepada RM40 juta

image is not available

26/05/2025 - 09:54

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - Ta Ann Holdings Bhd mencatatkan prestasi pendapatan yang lemah pada suku pertama 2025 (1QFY25), susut daripada RM41.8 juta kepada RM40 juta dengan sebahagian besarnya disebabkan kerugian dalam segmen pembalakan.

Segmen itu mencatatkan kerugian untuk suku tahun keempat berturut-turut sebanyak RM5.2 juta.

Keputusan itu, turun sebanyak 4.3%, sedikit di bawah jangkaan Public Investment Bank Bhd (PublicInvest), tetapi berada dalam jangkaan masing-masing membentuk 19% dan 22%.

“Bagaimanapun, jualan meningkat daripada RM352 juta kepada RM407 juta, didorong peningkatan jualan perladangan tetapi sebahagiannya diimbangi oleh jualan balak yang lemah.

"Hasil balak merosot 52% kepada RM28.6 juta apabila jualan merosot 53% kepada RM7.5 juta manakala jualan papan lapis hampir separuh kepada RM21.7 juta, berikutan cuaca buruk telah menjejaskan aktiviti pembalakan," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, purata harga eksport kayu balak pada 1QFY25 meningkat daripada AS$223 setiap meter padu kepada AS$225 setiap meter padu, manakala harga papan lapis menurun daripada US$530 setiap meter padu kepada AS$471.

Jumlah eksport kayu balak dan papan lapis masing-masing merosot sebanyak 50.4% dan 49.1%.

Sebaliknya, jualan minyak sawit meningkat sebanyak 29.2% kepada RM377.7 juta. Purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 1QFY25 melonjak daripada RM3,884 setiap tan metrik (MT) kepada RM4,825.

Sementara itu, pengeluaran buah tandan segar (BTS) Ta Ann bagi 1QFY25 meningkat sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun kepada 136,800MT. Kadar perahan minyak (OER) menurun daripada 19.67 peratus kepada 19.26 peratus.

Pada masa yang sama, sumbangan pendapatan daripada anak syarikatnya, Sarawak Plantation Bhd, dan kilang penapisan milik usaha sama meningkat sebanyak 15.5% kepada RM7.6 juta.

Hujan lebat bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini telah menjejaskan aktiviti pembalakan dan minyak sawit, kata PublicInvest Research, kerana pengeluaran BTS adalah 20 peratus di bawah jangkaan.

"Bagi FY25, pihak pengurusan menyasarkan pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak 16% kepada 770,000MT berdasarkan hasil BTS sebanyak 18 tan per hektar.

"Tahun ini, syarikat merancang untuk menanam semula sebanyak 3,000 hektar. Aplikasi baja telah mencapai 25% daripada sasaran tahunan.

"Pada masa yang sama, syarikat juga menyasarkan pengeluaran kayu balak sebanyak 180,000 meter padu, dengan 94% daripadanya berasal daripada hutan semula jadi," katanya. - DagangNews.com

standard