amree16/10/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt — Nova Wellness Group Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 11.3% kepada RM49.12 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), disokong jualan lebih tinggi produk jenama sendiri serta sumbangan daripada perkhidmatan pembuatan kontrak.
Dalam laporan tahunan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia, kumpulan berkenaan turut merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM8.53 juta, iaitu bertambah kira-kira 10.3% daripada hanya RM7.73 juta pada FY2025.
Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan itu pula turut naik kira-kira 16.6% kepada RM11.97 juta berbanding sebanyak RM10.27 juta pada tahun kewangan sebelumnya, manakala pendapatan sesaham (EPS) bertambah kepada 2.68 sen.
"Mengikut segmen perniagaan, produk jenama sendiri seperti Nova, Activmax, Healthy Joy dan Sustinex kekal sebagai penyumbang utama hasil, dengan pendapatan meningkat kepada RM39.61 juta daripada RM35.17 juta pada FY25," kata Nova Wellness.
Di samping itu ujarnya, segmen pembuatan kontrak turut mencatatkan pertumbuhan, dengan hasil meningkat kepada RM9.50 juta berbanding RM8.97 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Dari segi pasaran, Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil RM47.45 juta, manakala jualan eksport berjumlah RM1.67 juta menerusi pasaran di 10 negara, termasuk beberapa negara Eropah, Kanada, Filipina, Singapura, Thailand, Taiwan, Pakistan, Brunei, Mongolia dan China.

Nova Wellness turut meningkatkan liputan pengedaran domestik kepada 2,090 premis jualan pada FY2026 berbanding 1,850 premis setahun sebelumnya, selain membekalkan produk kepada 122 hospital.
Bagi mengukuhkan pertumbuhan masa depan, kumpulan merancang memperluas rangkaian pengedaran domestik, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperkenalkan lebih banyak produk pemakanan kesihatan. Kumpulan juga berhasrat memperluas pasaran eksport.
Bagaimanapun, kumpulan berdepan cabaran termasuk persaingan pasaran, tekanan kos operasi dan pengurusan risiko kredit. Bagi FY26, Nova Wellness memperuntukkan elaun kerugian kredit sebanyak RM650,000 ke atas penghutang dagangan.
"Dari segi pulangan kepada pemegang saham, syarikat mengisytiharkan jumlah dividen 3.20 sen sesaham bagi FY2026, melibatkan pembayaran keseluruhan RM10.20 juta," kata kumpulan tersebut.
Jumlah itu merangkumi dividen interim pertama 1.60 sen sesaham yang dibayar pada 30 Mac 2026 dan dividen interim kedua sebanyak 1.60 sen sesaham yang dibayar pada 23 September 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan, Phang Nyie Lin berkata syarikat kekal komited terhadap disiplin kewangan dan kecekapan operasi bagi menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang. Nova Wellness dijadual mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-10 pada 17 November 2026 di ibis Styles Sepang KLIA. - DagangNews.com






