
KANGAR – Hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini untuk bercuti bersama tiga anak berusia 15 hingga 19 tahun dan suami selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak kesampaian.
Suami Allahyarham, Sabry Saad, 52, berkata, isterinya yang berusia 50 tahun tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, selain bergurau dan berbual seperti biasa semalam.
“Cuma kebelakangan ini Allahyarham kerap berbual dengan anak kedua kami berusia 18 tahun yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menerusi panggilan telefon serta anak-anak (anak sulung dan anak ketiga) yang ada di Perlis,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTF hari ini.
Sabry berkata, isterinya mengalami keletihan sejak beberapa hari lepas, namun tidak serius seperti yang dialami pagi tadi sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan HTF sekitar 10.30 pagi.
“Masa kami bawa ke HTF, isteri saya sudah tak boleh bercakap. Bila sampai ke kecemasan, beliau ditidurkan dan meninggal dunia pada pukul 4.26 petang tadi,” katanya.
Sabry berkata, Wan Badariah menghidap tiroid dan mengambil ubat-ubatan, namun tidak menyangka isterinya akan pergi secara mengejut.
“Tidak sangka akan jadi begini sebab beliau tidak menunjukkan simptom yang lebih dahsyat,” katanya.
Sabry berkata, jenazah isterinya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siding, Arau selepas disolatkan pada pukul 11 pagi esok.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Wan Badariah serta kepimpinan Pas atas pemergian wakil rakyat PAS itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Wan Badariah yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional memperoleh 4,419 undi, menewaskan calon Barisan Nasional, Siti Berenee Yahya (2,398 undi) dan Amran Kamaruddin daripada Pakatan Harapan (794 undi) dengan majoriti 2,021 undi.
— BERNAMA
The post Hasrat Badariah bawa tiga anak bercuti tidak kesampaian appeared first on Kosmo Online.






