KOTA BELUD - Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki yang baru pulang memancing berakhir dengan tragedi apabila maut dirempuh lori ketika melintas jalan untuk pulang ke rumah pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang di Jalan Kampung Kesapang, mangsa, Muzamir Mahadir, 12, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tiba-tiba berlari melintas jalan sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Bezza.
**media[3560909]**
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya.
“Sebuah lori yang berada di belakang Perodua Bezza berkenaan gagal mengelak sebelum merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
**media[3560910]**
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beberapa saksi memaklumkan mangsa baru selesai memancing dan dalam keadaan gembira selepas berjaya memperoleh ikan.
**media[3560911]**
Mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kesapang dipercayai mahu menunjukkan ikan yang ditangkap kepada ahli keluarganya sebelum melintas jalan.
Bagaimanapun, hasratnya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.






