Hasrat Jemput Ibu Di KLIA Tak Kesampaian, Hanya Bagasi Tiba Dari Tanah Suci

24 Mar 2026 • 8:36 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Perancangan untuk menyambut kepulangan insan tersayang bertukar menjadi detik paling memilukan dalam hidup. Dari harapan menanti di balai ketibaan, akhirnya hanya tangisan dan kenangan yang mengiringi kepulangan yang tidak pernah dijangka.

Kisah menyentuh hati dikongsi seorang pengguna Threads, @faizzal_asrul, yang reda menerima pemergian ibu tercinta ketika berada di Tanah Suci.

Menerusi perkongsian tersebut, dia memaklumkan mereka sekeluarga sepatutnya hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjemput ibunya pulang daripada mengerjakan umrah.

Namun, takdir Allah mengatasi segalanya apabila yang tiba hanyalah rakan-rakan arwah serta bagasi milik ibunya.

“Sepatutnya kami datang KLIA untuk jemput mak balik dari umrah… tapi yang tiba hanya kawan-kawan mak dan bagasi je… semoga mak tenang di sana… Al-Fatihah untuk mak… terima kasih TITIM Travel,” tulisnya.

Ruang Komen Dibanjiri Ucapan Takziah Dan Doa

Perkongsian itu nyata mengundang sebak dalam kalangan netizen yang turut bersimpati dengan ujian menimpa keluarga berkenaan. Rata-rata menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Ada yang menulis, “Turut berduka kak. Salam takziah. InsyaAllah mak masuk dalam golongan beruntung. Aamiin.”

Dalam masa sama, timbul juga persoalan daripada netizen mengenai prosedur sekiranya jemaah meninggal dunia di Tanah Suci, selain pandangan bahawa pemergian di sana merupakan satu kemuliaan yang diimpikan ramai umat Islam.

“Semua orang Islam bercita-cita untuk mati dan dikebumikan di sana… tempat paling suci bagi umat Islam… InsyaAllah mati dalam keadaan mulia dan syurga tempatnya,” kongsi seorang pengguna.

Tidak kurang juga yang terus menitipkan doa, berharap agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta dikurniakan husnul khatimah.

Semoga keluarga ini terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian, serta roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. – The Malaysian Update

The post Hasrat Jemput Ibu Di KLIA Tak Kesampaian, Hanya Bagasi Tiba Dari Tanah Suci appeared first on The Malaysian Update.