
PEMERGIAN pelakon dan pelawak Jalil Hamid merupakan satu kehilangan besar.
Anak kelima Allahyarham iaitu Afiqah Jalil, 33, berkongsi rasa terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat menunaikan ibadah haji akibat masalah kesihatan.
Difahamkan, Jalil atau nama penuhnya Abdul Jalil Abdul Hamid sudah mengikuti kursus haji namun hasratnya tertunda dua tahun berturut-turut sehingga meninggal dunia.

Terdahulu, menurut Afiqah, ibunya, Haryati Sariat menunaikan haji seorang diri pada tahun lalu, sementara bapanya terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan masalah kesihatan.
“Tahun lepas tak dapat pergi, ibu saja pergi seorang. Tahun ini pula, ayah dah pergi kursus haji tapi tak dapat sebab masalah jantung.
“Dia agak tertekan juga sebab tak dapat pergi. Kami cuba pujuk, mungkin belum rezeki. Tapi saya tahu dia sedih tidak dapat tunaikan haji. Itulah hasrat terbesar dia,” ujarnya kepada Gempak.
Pun begitu, Afiqah bersyukur kerana sempat mencipta banyak kenangan bersama bapanya, hubungan mereka sering disulami usikan dan gurauan.
Menurutnya, momen bersama Allahyarham membuatkan dirinya kini lebih menghargai setiap detik yang pernah dilalui bersama insan tersayang itu.

"Semalam semasa makan malam macam biasa dia cakap hendak jual rumah ini, penat nak uruskan. Biasalah dia cakap macam tu, bergurau.
"Kami juga merancang untuk bawa ayah ke Singapura hujung minggu ini untuk majlis pelancaran bukunya di sana," ujar Afiqah.
Mengenal peribadi ayahnya seorang yang tidak suka menyusahkan orang, Afiqah menerima hakikatnya pemergiannya dalam tidur.
"Ayah pun jenis orang yang tak suka menyusahkan sesiapa.
"Saya pun selalu doa, 'Ya ALLAH kalau nak ambil bapa aku ni, pemudahkan'. Memang ALLAH betul-betul beri apa yang didoakan. Dalam tidur sahaja, Subhanallah," tutur Afiqah.
Sekadar info, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 12.30 tengah hari selepas keluarga cuba mengejutkannya namun dia sudah tidak sedarkan diri.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam kira-kira jam 6 petang selepas dibawa ke Masjid Al-Munawwarah untuk disolatkan.
Sumber: Instagram, Gempak, Berita RTM






