
DUNIA hiburan tanah air menerima khabar duka pelakon, penyanyi dan pelawak Jalil Hamid meninggal dunia pada 12.30 tengah hari Isnin ketika sedang tidur.
Anaknya, Afiqah Jalil berkongsi Insta Story memaparkan jenazah Jalil dan kapsyen menyentuh hati.
"Ayah dah takda. Mohon sedekahkan al-Fatihah untuk ayah," kongsinya,
Sementara itu, memetik OhBulan, Afiqah mengesahkan bapanya menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 12.30 tengah hari.
"Betul, ayah saya telah meninggal dunia pada 12.30 tengah hari tadi dalam tidur.
"Pagi tadi dia bangun untuk solat Subuh, kemudian tidur semula. Apabila mak cuba mengejutkannya tengah hari, dia sudah tidak sedarkan diri," kongsinya.

Difahamkan, Allahyarham sebelum ini mempunyai masalah jantung.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar.
Sekadar info, Jalil bukan nama asing dalam industri hiburan tanah air. Mula dikenali menerusi filem Driving School pada tahun 1990, Jalil membintangi filem dan drama terkenal seperti sitkom Gado-Gado dan Spanar Jaya.
Jalil yang cukup dikenali menerusi telefilem juga membintangi filem seperti Wanita Bertudung Hitam, Zombi Kampung Pisang, Pensil dan ...Dalam Botol.
Aktor berbakat itu dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-13 dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2016. Jalil juga merangkul Pelakon Lelaki Terbaik Filem, Anugerah Telenovela 2018.
Sumber: OhBulan






