
JABATAN Meteorologi Malaysia menjangkakan pengaruh El Nino lebih ketara khususnya sepanjang Monsun Barat Daya. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan kanak-kanak dan warga emas antara kelompok lebih berisiko mengalami penyakit berkaitan haba yang serius. Risiko itu bukan bergantung pada suhu semata-mata tetapi keupayaan setiap orang menghadapi haba juga berbeza.
Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan aktiviti luar perlu ditangguhkan apabila suhu melebihi 35 darjah Celsius. Institusi pendidikan turut diminta memastikan bekalan air minuman mencukupi serta memantau kegiatan yang boleh mendedahkan murid kepada bahang berlebihan.
Apabila suhu meningkat, rutin juga perlu disesuaikan.
Di rumah, penyesuaian itu tidak semestinya rumit. Waktu anak bermain atau bersukan boleh dialihkan, manakala pengambilan air perlu diberi perhatian. Bagi warga emas yang tinggal sendiri, panggilan telefon atau kunjungan ringkas daripada anak, saudara atau jiran boleh membantu memastikan mereka tidak terlepas daripada perhatian.
Perhatian yang sama penting di pusat jagaan. KKM menggesa pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas mengambil langkah pencegahan ketika cuaca semakin panas. Panduan sebenarnya sudah tersedia. Yang perlu dipastikan ialah panduan itu benar-benar menjadi amalan, bukan sekadar arahan yang dibaca apabila suhu meningkat.
Kesiapsiagaan bukan bermaksud semua aktiviti perlu dihentikan setiap kali hari terasa terik. Tindakan perlu mengambil kira tahap bahaya, jenis aktiviti dan keadaan individu. Namun, meneruskan rutin seperti biasa ketika suhu semakin tinggi juga bukan pilihan yang bijak.
El Nino sering dibincangkan melalui perubahan suhu, hujan dan ramalan cuaca. Namun, kesediaan menghadapinya akhirnya terlihat pada perkara yang lebih dekat dengan kehidupan seharian. Adakah waktu anak bermain disesuaikan apabila bahang meningkat? Adakah warga emas yang tinggal sendiri masih ada orang yang mengambil tahu keadaannya?
Ramalan memberi kita masa untuk bersedia, manakala panduan membantu menentukan apa yang perlu dilakukan. Namun, kedua-duanya hanya bermakna apabila ia mempengaruhi keputusan harian.
Apabila cuaca berubah, rutin juga perlu berubah. Bagi mereka yang lebih rentan, penyesuaian kecil boleh menjadi langkah awal yang menghalang pendedahan haba daripada berkembang menjadi masalah kesihatan yang lebih serius. -UTUSAN
FAIRUS MUHAMAD DARUS
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
The post Hati-hati dengan cuaca panas melampau appeared first on Utusan Malaysia.




