Hati-hati manipulasi bahan di media sosial

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hati-hati manipulasi bahan di media sosial

Setiap hari, masyarakat berdepan dengan pelbagai maklumat yang datang tanpa henti menerusi media sosial.

Satu kenyataan politik boleh mencetuskan perdebatan, satu video boleh mengundang kemarahan dan satu dakwaan belum dipastikan kesahihan boleh tersebar kepada ribuan orang dalam tempoh singkat.

Dalam keadaan masyarakat semakin bergantung kepada ruang digital untuk mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan, persoalannya bukan lagi sekadar apa kita percaya, tetapi sejauh mana kita mampu mempertahankan kewarasan dan keharmonian apabila emosi mudah dipengaruhi.

Sempena sambutan Hari Malaysia, persoalan tentang ketahanan masyarakat itu wajar diberi perhatian, khususnya ketika perbezaan isu kaum, agama dan pandangan politik semakin mudah dipengaruhi oleh maklumat yang tersebar pantas.

Felo Edward S Mason dalam bidang Pentadbiran dan Dasar Awam, Mohd. Daud Mat Din berkata, persoalan itu penting susulan perubahan bentuk ancaman keselamatan tidak lagi bergantung pada kekuatan ketenteraan semata-mata.

Menurutnya, ancaman hibrid termasuk perang kognitif kini menyasarkan pemikiran, emosi dan cara masyarakat membuat keputusan.

Beliau berkata, perkara itu turut disentuh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden UMNO dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 12 September lalu.

Beliau mengingatkan perang kognitif strategi terancang bagi mempengaruhi pemikiran dan identiti manusia, termasuk melalui manipulasi maklumat.

Katanya, bahaya perang kognitif bukan sekadar pada maklumat palsu disebar, tetapi kesannya terhadap masyarakat.

Tambah beliau, jika perbezaan agama atau kaum berjaya dimanipulasi hingga menjadi perbalahan, boleh membawa kepada ketidakstabilan politik, kemerosotan ekonomi dan ketidakharmonian sosial.

Ulas Mohd. Daud, kebimbangan itu selari dengan penerangan Allied Command Transformation NATO pada 3 Julai 2024 melihat perang kognitif sebagai bentuk peperangan menggunakan manipulasi dan pembohongan bagi mempengaruhi pemikiran.

Perkembangan itu menunjukkan medan konflik moden turut bergerak ke ruang psikologi, persepsi dan informasi.

Dalam konteks Malaysia, katanya, Kementerian Pertahanan memberi perhatian terhadap pembinaan ketahanan rakyat sebagai instrumen pencegahan dalam menghadapi ancaman hibrid.

Ketahanan masyarakat menjadi penting kerana rakyat kelompok paling hampir dengan ruang maklumat dan komunikasi digital.

“Kalau medan pertempuran perang kognitif ialah minda dan emosi rakyat, kita perlu bertanya siapa yang paling hampir dengan masyarakat.

“Media dan media sosial menjadi saluran utama, tetapi figura awam dan ahli politik juga mempunyai pengaruh sangat besar,” katanya.

Laporan Digital 2026 oleh DataReportal merekodkan 30.7 juta identiti pengguna media sosial di Malaysia, bersamaan 85 peratus daripada jumlah penduduk, manakala penembusan Internet mencecah 98 peratus.

Ketahanan rakyat bukan hanya bergantung kepada keupayaan negara menangani ancaman dari luar, tetapi turut bergantung kepada cara pemimpin dan masyarakat mengurus perbezaan dari dalam.

The post Hati-hati manipulasi bahan di media sosial appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved