
PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius dakwaan tular di media sosial yang mempersoalkan sama ada sebuah kenderaan yang dikaitkan dengan kegiatan mencuri kabel telah diiringi oleh sebuah kenderaan peronda.
Presidennya, Jais Abdul Karim dalam kenyataan berkata, kandungan video atau hantaran media sosial tidak boleh dianggap sebagai bukti muktamad bahawa berlaku salah laku, perlindungan atau penglibatan mana-mana anggota penguat kuasa.
Katanya, semakan awal juga belum menemukan pengesahan berautoriti yang mencukupi mengenai konteks sebenar rakaman tersebut.
“Namun, dakwaan seperti ini tidak wajar dibiarkan tanpa penjelasan kerana ia menyentuh secara langsung soal integriti, amanah dan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan.
“MCW mencadangkan pihak berkuasa segera mengenal pasti lokasi, tarikh dan masa kejadian, kenderaan yang terlibat serta anggota yang bertugas,” katanya di sini hari ini.
Katanya, sekiranya kenderaan peronda tersebut sebenarnya sedang menjalankan tugas rasmi, perkara itu perlu dijelaskan kepada masyarakat bagi mengelakkan fitnah dan persepsi negatif.
“Sebaliknya, jika terdapat unsur membantu, melindungi atau bersekongkol dengan kegiatan jenayah, siasatan bebas dan tindakan tegas perlu dilaksanakan tanpa kompromi.
“Prinsip MCW mudah, jangan menghukum berdasarkan video tular, tetapi jangan juga membiarkan persoalan integriti tanpa jawapan,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa rakaman televisyen litar tertutup memaparkan kenderaan didakwa digunakan oleh kumpulan pencuri kabel dikatakan diiringi kenderaan peronda.
Bagaimanapun, polis semalam mengesahkan video tersebut yang turut tular di TikTok merupakan kes kecurian kabel di Jalan Tasek Tambahan 3, Kampung Tasek Tambahan Ampang yang sedang disiasat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid dalam kenyataan berkata, tindakan seorang lelaki yang disyaki mahu mencuri kabel itu berjaya ditumpaskan selepas kegiatan tersebut disedari orang awam.
“Dalam kejadian pukul 3.59 pagi semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menerima satu panggilan telefon memaklumkan kegiatan disyaki mencuri kabel di lokasi tersebut iaitu berhampiran Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasik Tambahan.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Ampang bersama MPV tiba di lokasi dan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang menarik keluar kabel dari sebuah manhole,” katanya semalam. – KOSMO! ONLINE
The post Jangan hukum berdasarkan video tular – MCW appeared first on Kosmo Online.





