‘Hati-hati pinjamkan warga asing motosikal, risiko menanti’

9 Oct 2026 • 3:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Hati-hati pinjamkan warga asing motosikal, risiko menanti’

GEORGE TOWN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyewakan atau meminjamkan motosikal kepada warga asing, terutama mereka yang tidak mempunyai lesen memandu dan dokumen yang sah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, tindakan tersebut boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya yang bukan sahaja membahayakan penunggang, malah pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, pemilik kenderaan perlu lebih bertanggungjawab dan berhati-hati sebelum membenarkan warga asing menggunakan motosikal mereka.

“Jangan sekali-kali memberi pinjaman kenderaan-kenderaan ini kepada warga asing. Saya amat-amat memohon kepada warga tempatan supaya lebih berhati-hati.

“Risiko yang menanti sekiranya membenarkan warga asing memandu kenderaan tanpa memiliki lesen memandu atau dokumen-dokumen sah…bila mana mereka terlibat kemalangan dan sebagainya,” katanya selepas selesai sidang akhbar Ops Khas Pemandu Warga Asing (Pewa) di JPJ Batu Uban, tadi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa setiap individu yang memandu di negara ini, tanpa mengira kewarganegaraan, wajib mematuhi undang-undang jalan raya yang sudah termaktub.

“JPJ ingin mengingatkan majikan, pemilik kenderaan dan pihak yang menguruskan pemandu warga asing supaya memastikan individu yang dibenarkan memandu mempunyai kelayakan serta dokumen yang sah.

“Janganlah semata-mata mengejar kepentingan atau keuntungan sehingga mengabaikan aspek keselamatan,” katanya.

Tambahnya, JPJ akan meneruskan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui saluran rasmi jabatan itu.

Terdahulu, Zulkifly mendedahkan tedapat segelintir pemilik motosikal tempatan dipercayai menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing pada kadar RM200 sebulan bagi memudahkan golongan itu berulang-alik ke tempat kerja.

Ini berdasarkan operasi yang diadakan di daerah ini bermula pukul 5 pagi hingga 10 pagi tadi. Dalam operasi tersebut, sebanyak 694 kenderaan yang digunakan warga asing terdiri Myanmar, Bangladesh, India dan Indonesia telah diperiksa dan 74 daripadanya telah disita. -KOSMO! ONLINE

The post ‘Hati-hati pinjamkan warga asing motosikal, risiko menanti’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved