
KLANG – Beli motosikal guna pasport, tetapi menunggang di jalan raya tanpa lesen memandu antara taktik warga asing yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) di Jalan Perindustrian Kapar-Meru, di sini, hari ini.
Operasi hampir empat jam bermula pukul 6.30 pagi itu menyaksikan 51 kenderaan disita, termasuk 47 motosikal selain penahanan 13 warga asing.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, warga asing yang ditahan dipercayai menggunakan kenderaan berkenaan untuk bekerja, termasuk mengutip besi buruk, mengumpul sampah,
Katanya, siasatan awal mendapati ada kenderaan disita merupakan milik warga asing itu sendiri dengan membelinya menggunakan pasport.
“Beli pakai pasport tidak salah tetapi menjadi kesalahan kalau bawa kenderaan tidak ada lesen kenderaan.
“Ada warga asing yang bawa kenderaan syarikat dan kita akan panggil majikan ini untuk pendakwaan di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar Ops Pewa di sini, hari ini.
Menurutnya, dari segi pecahan warga asing yang ditahan membabitkan 13 warga Bangladesh, Myanmar (11 orang), Pakistan (10 orang), India (8 orang), Indonesia (7 orang) dan dua orang warga lain-lain negara.
Tambahnya, Ops Pewa dilaksanakan setiap hari bagi membanteras warga asing daripada memandu kenderaan tanpa lesen.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya tidak mengarahkan pekerja bukan warga Malaysia membawa barang menggunakan kenderaan sekiranya mereka tidak mempunyai lesen memandu.
Jelasnya, selain Klang, Ampang, Selayang, Subang Jaya dan Puchong antara kawasan dalam Selangor yang dikesan paling ramai warga asing memandu kenderaan tanpa lesen. – KOSMO! ONLINE
The post Guna pasport beli motosikal, lesen tiada appeared first on Kosmo Online.






