Warga asing sewa motosikal orang tempatan RM200 sebulan

9 Oct 2026 • 12:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warga asing sewa motosikal orang tempatan RM200 sebulan

GEORGE TOWN – Segelintir pemilik motosikal tempatan dipercayai menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing pada kadar RM200 sebulan bagi memudahkan golongan itu berulang-alik ke tempat kerja.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkifly Ismail menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan di sekitar daerah ini, bermula pukul 5 hingga 10 pagi tadi.

Menurutnya, dalam operasi tersebut sebanyak 694 kenderaan yang digunakan warga asing terdiri Myanmar, Bangladesh, India dan Indonesia telah diperiksa dan 74 daripadanya telah disita.

“Kesalahan paling banyak dikesan ialah memandu tanpa lesen yang sah dengan 158 tindakan, diikuti 50 kesalahan melibatkan lesen kenderaan motor yang tamat tempoh.

“Daripada pemeriksaan yang dijalankan, ada kenderaan milik warga asing sendiri dan ada juga yang dimiliki warga tempatan sebelum disewakan kepada warga asing pada kadar kira-kira RM200 sebulan,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Batu Uban di sini, tadi.

Dalam pada itu, katanya lagi, pihaknya turut mengesan seorang warga asing yang membeli motosikal menggunakan nama sendiri walaupun tidak mempunyai lesen memandu.

“Penunggang motosikal terbabit merupakan warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 30-an dan dia baru tiga hari membeli motosikal secara ansurans dari kedai,” katanya rata-rata warga asing yang ditahan dalam operasi itu terdiri daripada pekerja kontrak dan kilang.

Katanya lagi, kebanyakkan warga asing memberi alasan yang mereka memerlukan motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Keperluan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar undang-undang jalan raya,” tambahnya tindakan menyita kenderaan dilaksanakan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

The post Warga asing sewa motosikal orang tempatan RM200 sebulan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved