
PETALING JAYA – Kepenatan belum hilang, namun pengalaman berharga di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi bekalan Muhammad Haziq Mohamad Akhir untuk terus memburu kejayaan apabila membantu Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih emas acara 4×100 meter (m) lelaki pada Grand Final Varsity Track & Field (VTF) 2026, semalam.
Haziq bergandingan dengan Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Reeve Kua Man Hong dan Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin untuk muncul juara menerusi catatan 40.86 saat, sekali gus menambah koleksi emas kontinjen UPM.
Kejayaan itu melengkapkan dua hari cemerlang buat Haziq yang turut mengungguli acara 200m sehari sebelumnya, biarpun mengakui tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya selepas baru kembali daripada kempen Sukan Asia di Jepun.
“Saya bersyukur kerana dalam 4x100m hari ini dan 200m semalam, saya dapat meraih pingat emas sekali gus membantu UPM menambah koleksi emas. Walaupun baru pulang daripada Sukan Asia, itu bukan penghalang untuk saya beraksi di sini.
“Sebenarnya saya penat dan badan memang lesu, tetapi saya tetap mahu mencuba. Kalau dapat, Alhamdulillah, kalau tidak pun tidak mengapa kerana yang penting saya sudah mencuba,” katanya.
Lebih daripada kejayaan meraih dua emas, Haziq mahu menjadikan pengalaman beraksi di pentas Sukan Asia sebagai bekalan untuk memperkemaskan persembahannya dalam kejohanan akan datang sama ada di dalam mahupun luar negara.
Mengulas kemungkinan kombinasi kuartet sama dikekalkan untuk Sukan Universiti ASEAN (AUG), Haziq menyerahkan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan dengan pemilihan dijangka mengambil kira catatan serta ranking 100m setiap pelari.
“Kami tidak kisah siapa yang akan berlari kerana kami semua satu pasukan dan akan mengikut perancangan jurulatih. Kalau jurulatih rasa kami perlu berlari, kami akan berlari dan kalau orang lain dipilih, kami tetap akan memberikan sokongan,” katanya.
Sementara itu, kuartet 4x100m wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut mencipta sensasi apabila memperbaharui rekod kejohanan milik mereka sendiri daripada 47.17s kepada 46.25s, manakala UPM terus mengungguli kedudukan pingat dengan 14 emas, sembilan perak dan enam gangsa. KOSMO! ONLINE
The post Haziq bawa momentum Sukan Asia ke VTF appeared first on Kosmo Online.


