
KUALA LUMPUR, 4 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan meraih sembilan pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata kejayaan itu sekali gus menyamai pencapaian terbaik kontinjen negara di Sukan Asia pada edisi Guangzhou 2010 di China.
“Terima kasih kerana telah memberikan yang terbaik dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Teruskan melangkah dengan keyakinan dan semangat juang tinggi.
“Semoga lebih banyak kejayaan menanti di pentas-pentas seterusnya,” kata beliau.
Kontinjen Malaysia melabuhkan tirai saingan di Sukan Asia ke-20 itu dengan kutipan sembilan pingat emas, tujuh perak dan 16 gangsa.
Pingat emas berkenaan disumbangkan menerusi acara skuasy, karate, e-sukan, sepak takraw dan berbasikal trek.





