liza03/11/2026 - 14:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov – Pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap Palestine Standards Institution (PSI) sebagai Badan Pensijilan Halal Luar Negara membuka ruang kepada produk Palestin yang layak untuk menembusi pasaran Malaysia seterusnya memperluaskan lagi kerjasama perdagangan halal antara kedua-dua negara.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata pengiktirafan itu merupakan langkah penting dalam memudahkan akses pasaran bagi produk Palestin yang memenuhi keperluan pensijilan halal dan peraturan berkaitan di Malaysia.
Beliau berkata keutamaan seterusnya adalah menterjemahkan pengiktirafan berkenaan kepada peluang perniagaan sebenar untuk pengeluar dan syarikat perniagaan dari Palestin.
“HDC akan bekerjasama dengan rakan strategik berkaitan bagi membantu pengeluar Palestin memahami keperluan pasaran halal Malaysia, menghubungkan mereka dengan pembeli dan pengedar serta menyediakan produk untuk memasuki pasaran tempatan.
"Pengiktirafan ini menyediakan asas kepada kerjasama perdagangan produk dan perkhidmatan halal yang lebih erat,” katanya dalam satu kenyataan.

Eksport halal Malaysia cecah RM68.52 bilion
Menurut HDC, eksport halal Malaysia mencecah RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyediakan asas kepada penerokaan kerjasama dalam aspek penyumberan produk, bahan ramuan dan rangkaian rantaian bekalan.
Daripada jumlah itu, sektor makanan dan minuman menyumbang RM36.86 bilion atau 53.8% manakala bahan ramuan halal mencatatkan RM21.39 bilion atau 31.2%.
Mohd Afandi turut mengiktiraf peranan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) dalam memudah cara hubungan antara PSI, HDC dan JAKIM sehingga membawa kepada pengiktirafan berkenaan.
Pengiktirafan itu meliputi produk yang layak dalam beberapa kategori termasuk makanan dan minuman, bahan mentah, kosmetik, produk penjagaan diri serta farmaseutikal, tertakluk kepada keperluan yang ditetapkan.
HDC bantu pengeluar Palestin tembusi pasaran
Bagaimanapun, beliau berkata, pengiktirafan halal sahaja tidak mencukupi kerana syarikat yang ingin memasuki pasaran Malaysia turut perlu memenuhi keperluan import, keselamatan produk, pelabelan dan peraturan berkaitan.
Katanya, bekalan yang boleh dipercayai, produk berdaya saing serta kesesuaian rakan niaga merupakan antara faktor penting bagi memastikan kerjasama perdagangan itu dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, HDC akan meneruskan kerjasama dengan MICCI, PSI dan agensi kerajaan berkaitan bagi memperkukuh hubungan institusi serta memudahkan jaringan perniagaan antara kedua-dua negara.
Penglibatan seterusnya akan memberi tumpuan kepada keperluan kemasukan pasaran, mengenal pasti bakal pembeli dan pengedar serta menyediakan platform bersesuaian untuk padanan perniagaan, khususnya menerusi Halal Integrated Platform (HIP) kendalian HDC.
Mohd Afandi berkata, perdagangan juga boleh melengkapi bantuan kemanusiaan dengan membantu perusahaan Palestin mengekalkan operasi perniagaan dan sumber pendapatan mereka.
"Fokus kami adalah kepada kerjasama yang mampu memberikan peluang perniagaan secara nyata, sambil terus mematuhi keperluan halal dan peraturan Malaysia," katanya.- DagangNews.com






