Perjelas tindakan terhadap kilang ayam diragui status halal

LocalFood
2 Nov 2026 • 6:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perjelas tindakan terhadap kilang ayam diragui status halal

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta menjelaskan tindakan bagi menangani kegiatan pemprosesan ayam tanpa sijil halal susulan serbuan terhadap sebuah kilang di Puchong.

Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian berikutan ayam yang diproses di premis berkenaan diedarkan kepada kedai-kedai di sekitar Lembah Klang.

“Cuma kita nak tahu apakah tindakan khususnya daripada pihak Jakim, pihak kementerian bagi mengatasi persoalan berkaitan dengan ayam yang disembelih ini tidak ada sijil-sijil halal.

“Dan kita dimaklumkan juga, maksudnya ayam ni tidak disembelih tapi dia guna renjatan elektrik, kemudian direndam ayam ni dalam air,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kira-kira 40,000 ekor ayam yang disembelih, diproses dan dipasarkan setiap hari oleh sebuah kilang di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong diragui status halalnya.

Keraguan itu timbul selepas serbuan pihak berkuasa menemukan penggunaan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik yang dilaporkan melebihi had ditetapkan.

Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pemeriksaan awal menemukan proses pengendalian dan penyembelihan yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak.

Menurut beliau, bekalan ayam daripada kilang itu dipasarkan kepada restoran, pasar raya dan kedai runcit termasuk di Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Puchong, Cheras serta Bangi.

Beliau turut memaklumkan bahawa JAKIM difahamkan pernah menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan teguran kepada pengurusan kilang, namun premis itu masih gagal mematuhi prosedur pengendalian serta penyembelihan yang ditetapkan.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 6,555 kilogram ayam mentah dianggarkan bernilai RM85,400 dirampas. – UTUSAN

The post Perjelas tindakan terhadap kilang ayam diragui status halal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved