liza03/11/2026 - 16:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM8.56 juta kepada sembilan usahawan Bumiputera di Johor bagi membantu mengembangkan perniagaan serta meningkatkan penyertaan mereka dalam rantaian nilai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pembiayaan itu disalurkan menerusi dua program utama iaitu Dana Pengembangan dan Pemangkin Bumiputera (Bumiputera Expansion & Catalyst Fund (BECF) serta Program Pembiayaan Modal Kerja Islam (Islamic Working Capital Financing Programme (i-WCPF).
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan keupayaan syarikat Bumiputera tempatan supaya bukan sahaja mendapat akses kepada sokongan perniagaan, malah berupaya merebut peluang dalam rantaian bekalan, kerjasama komersial dan sektor pertumbuhan tinggi di Johor.
Peluang berkenaan semakin terbuka susulan JS-SEZ merekodkan pelaburan bernilai RM132 bilion bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026.
Perkembangan itu membuka ruang kepada syarikat tempatan, termasuk perusahaan Bumiputera untuk mengembangkan operasi, meluaskan pasaran serta menjalinkan kerjasama dengan pelabur dan syarikat peneraju industri.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata usaha memastikan syarikat Bumiputera Johor mengambil bahagian secara aktif dalam ekosistem perniagaan JS-SEZ memerlukan pengukuhan keupayaan perniagaan, peningkatan produktiviti serta kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta.
Beliau berkata, matlamatnya adalah untuk memastikan lebih banyak syarikat Bumiputera bukan sekadar menerima sokongan, sebaliknya bersedia menjadi pembekal, rakan strategik dan pemain kompetitif dalam rantaian nilai JS-SEZ.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor, agensi berkaitan dan sektor swasta penting bagi memastikan pertumbuhan pelaburan JS-SEZ turut memberi manfaat kepada perniagaan tempatan serta Bangsa Johor menerusi peluang perniagaan dan pekerjaan berkualiti.
TERAJU perkenal tiga laluan pembangunan usahawan
“Melalui tiga laluan program TERAJU iaitu ASCEND, ENHANCE dan XCELERATE, lebih ramai usahawan Bumiputera akan dikenal pasti, disaring dan dibimbing secara berperingkat berdasarkan tahap kesediaan serta potensi pertumbuhan perniagaan masing-masing,” katanya.
Usahawan terpilih akan dibimbing untuk melangkah ke tahap pertumbuhan seterusnya, selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan, pengukuhan pemilikan aset produktif dan peningkatan nilai perniagaan Bumiputera.
Sehubungan itu, TERAJU akan terus menghubungkan syarikat Bumiputera dengan agensi kerajaan, institusi kewangan dan rakan industri bagi memperluas akses kepada sokongan perniagaan, pasaran serta peluang kerjasama komersial.
TABS 2026 bincang strategi pertumbuhan perniagaan
Sementara itu, penganjuran Simposium Aspirasi Perniagaan TERAJU (TABS) 2026 yang bertemakan “Johor: Menerajui Transformasi, Memacu Pertumbuhan” turut menyaksikan sesi penyerahan pembiayaan strategik BECF dan program i-WCPF.
Kedua-dua program itu merupakan antara pengisian utama simposium bagi menghubungkan syarikat Bumiputera dengan sokongan pembiayaan untuk memperkukuh operasi dan merancang pertumbuhan perniagaan.
Simposium berkenaan turut menampilkan dua sesi panel yang membincangkan perkembangan ekonomi dan pelaburan Johor serta strategi bagi membantu syarikat tempatan meningkatkan daya saing dan merebut peluang pertumbuhan.
Sesi pertama bertemakan “Mentafsir Isyarat Ekonomi, Mengemudi Arah Pertumbuhan” membincangkan landskap perniagaan Johor, keperluan pelabur dan syarikat pembeli utama serta persediaan syarikat mendapatkan pembiayaan bagi fasa pertumbuhan seterusnya.
Sesi kedua bertemakan “Menggarap Potensi, Menerajui Gelombang Pertumbuhan” pula memberi tumpuan kepada peluang komersial di Johor, termasuk penyertaan dalam rantaian nilai bernilai tinggi, kerjasama strategik dan pengembangan perniagaan. - DagangNews.com






