hamden16/11/2026 - 14:40 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Peluang memperoleh pakej subkontrak elektrik bernilai RM50 juta hingga RM100 juta bagi setiap satu daripada lima blok pusat data yang dijangka ditawarkan secara berperingkat pada tahun kewangan 2027 (FY27) menjadi pemacu prospek pertumbuhan HE Group Berhad (HEG).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, peluang itu dijangka muncul daripada beberapa fasa peluasan oleh pelanggan akhir pusat data, dengan tender baharu dijangka didorong terutamanya kontraktor utama sedia ada yang bekerjasama dengan kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu berkata, lima blok pusat data berkenaan berpotensi menawarkan pakej subkontrak secara berperingkat sepanjang FY27, sekali gus membuka ruang kepada HEG untuk memperoleh kontrak baharu dalam sektor berkenaan.
"Aktiviti tender semikonduktor HEG juga dijangka meningkat pada separuh pertama 2027, disokong rancangan peluasan kapasiti dalam kalangan pelanggan syarikat multinasional (MNC)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi memperkukuh keupayaan melaksanakan projek dan memenuhi permintaan dijangka meningkat, HEG turut giat menambah tenaga kerja, khususnya di wilayah utara sebagai persediaan menghadapi peningkatan aktiviti tender semikonduktor.
Firma penyelidikan itu menjangkakan HEG mampu mengekalkan nilai buku tempahannya pada RM400 juta hingga RM500 juta pada FY27, dengan sasaran penambahan kontrak baharu sebanyak RM350 juta hingga RM400 juta.
Prestasi Kewangan
Sasaran berkenaan secara amnya sejajar dengan unjuran firma penyelidikan itu yang menjangkakan HEG memperoleh kontrak baharu bernilai RM400 juta pada FY27, disokong peluang daripada sektor pusat data dan semikonduktor.
Setakat ini, HEG mempunyai buku tempahan bernilai RM441 juta, bersamaan 3.6 kali hasil bagi tahun kewangan 2025 (FY25), sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY27.
Keterlihatan itu turut disokong jangkaan penyempurnaan beberapa projek subkontrak elektrik pusat data pada FY27.
Bagi prestasi kewangan terdekat, HEG dijangka mencatatkan pendapatan lebih kukuh antara RM5 juta hingga RM6 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), meningkat 5% hingga 15% berbanding suku sebelumnya.
Peningkatan itu dijangka didorong pengiktirafan hasil secara berperingkat daripada kontrak baharu bernilai RM416.6 juta yang diperoleh sepanjang FY26.
Firma penyelidikan berkenaan mengulangi saranan BELI terhadap saham HEG dengan harga sasaran RM1.35, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27E sebanyak 18 kali.
Pada penilaian semasa, saham HEG didagangkan pada 13 kali P/E FY27E, yang disifatkan masih menarik mengambil kira pendedahan kumpulan kepada peluang pertumbuhan jangka panjang dalam sektor pusat data dan semikonduktor. - DagangNews.com





