
Kota Kinabalu: Sabah International Beauty Expo (Sibex) 2026 bakal berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dari 4 hingga 6 Dis ini, dengan sasaran menarik sehingga 50,000 pengunjung.
Dianjurkan oleh ESM Exhibitor Relations Malaysia, ekspo bertemakan “3 Days to Be Beautiful” itu bertujuan menghimpunkan jenama kecantikan, profesional industri, pemain perniagaan dan pengguna dalam satu platform.
Pengarah Urusan ESM Exhibitor Relations Malaysia (Sabah) Datuk Dayang Haja Khatijah Datu Haji Bachtiyal berkata ekspo itu akan menampilkan pelbagai kategori termasuk penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan rambut, kecantikan profesional, kesihatan dan kesejahteraan, selain produk dan perkhidmatan salon dan spa.
Beliau berkata Sibex 2026 turut menggabungkan platform perniagaan kepada pengguna (B2C) dan perniagaan kepada perniagaan (B2B) secara langsung, sekali gus membolehkan jenama berinteraksi dengan pengguna serta menjalin rangkaian dengan pengedar, peruncit, pengusaha salon, spa dan rakan niaga berpotensi.
Katanya, penganjur mengalu-alukan penyertaan penggiat industri dari Sabah, seluruh negara dan luar negara untuk meneroka potensi pasaran kecantikan yang semakin berkembang di rantau Borneo.
“Sabah mempunyai pasaran pengguna yang kukuh dan semakin berkembang. Kami percaya terdapat potensi besar bagi jenama kecantikan mengembangkan pasaran mereka di Sabah dan seterusnya ke seluruh Borneo,” katanya.
Dayang Haja Khatijah berkata, ekspo itu turut memberi tumpuan kepada usahawan dan jenama tempatan Sabah bagi meningkatkan pendedahan pasaran serta memperluas rangkaian pelanggan.
Pengunjung berpeluang menikmati tawaran promosi, mendapatkan sampel dan hadiah percuma, menyaksikan demonstrasi kecantikan serta aktiviti solekan secara langsung, selain melihat pameran dan pelancaran produk terbaharu.
Kemasukan ke ekspo itu adalah percuma.
Beliau berkata penganjuran SIBEX 2026 merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk menjadikan Kota Kinabalu destinasi utama ekspo industri bertaraf serantau, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pintu masuk ke pasaran kecantikan Borneo.
“Sehubungan itu, kami berharap penduduk Kota Kinabalu akan hadir memberikan sokongan dan menjadi sebahagian daripada acara ini. Jangan lupa tarikh 4 hingga 6 Disember di SICC. Hanya ‘tiga hari untuk menjadi jelita’,” katanya.






