Southern Score Builders raih dua subkontrak pusat data RM146.8 juta di Port Dickson

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 5:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Southern Score Builders raih dua subkontrak pusat data RM146.8 juta di Port Dickson Image from: Southern Score Builders raih dua subkontrak pusat data RM146.8 juta di Port Dickson hamden11/11/2026 - 17:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov – Southern Score Builders Berhad menerusi anak syarikat milik 51%, SJEE Engineering Sdn Bhd (SJEE), memperoleh dua kontrak subkontrak bernilai keseluruhan RM146.8 juta bagi melaksanakan kerja-kerja elektrikal untuk dua projek pusat data di Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Kedua-dua perjanjian subkontrak itu dimeterai pada 11 November 2026 dengan sebuah syarikat pembinaan tempatan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Southern Score Builders berkata kontrak pertama (Projek A) bernilai RM67.41 juta, manakala kontrak kedua (Projek B) bernilai RM79.39 juta.

 

Skop kerja bagi kedua-dua projek merangkumi pembinaan, penyiapan, pengujian dan pentauliahan Pakej Elektrik 3 serta kerja-kerja berkaitan lain.

 

Bagi Projek A, kerja-kerja Fasa 1 dijadual siap pada 22 Oktober 2027, manakala Fasa 2 pada 21 Januari 2028.

 

Sementara itu, Projek B dijadual siap bagi Fasa 1 pada 10 Januari 2028 dan Fasa 2 pada 10 April 2028.

 

Menurut kumpulan itu, pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan tidak akan memberi kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat serta tiada kesan serta-merta terhadap aset bersih sesaham dan nisbah penggearan.

 

Bagaimanapun, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan perolehan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 dan seterusnya sehingga projek disiapkan.

 

Southern Score Builders berkata pihaknya tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa berkaitan pelaksanaan kontrak berkenaan.

 

Pemeteraian kedua-dua perjanjian subkontrak itu merupakan sebahagian daripada urusan perniagaan biasa SJEE dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved