
Seorang pegawai Pasukan Khas Laut (Paskal) dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Keseluruhan Kursus Infantri Penembak Tepat 2026 di China, baru-baru ini.
Pegawai berkenaan menerima Anugerah Penuntut Cemerlang selepas mencatatkan prestasi terbaik sepanjang mengikuti kursus berkenaan di Kampus Shijiazhuang, Akademi Infantri Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Hebei, China.

TLDM menerusi satu kenyataan memaklumkan, pegawai terbabit mengikuti kursus itu dari 1 Mac hingga 31 Julai lalu, bersama 131 penuntut dari lebih 24 negara.
“Selain anugerah tertinggi berkenaan, pegawai itu turut menerima Sijil Kepujian – Kader Cemerlang serta Pingat Lencana Perak berdasarkan pencapaian dalam penilaian kursus.

“Bagi kategori Ujian Penembak Tepat Individu (Kumpulan 1), beliau turut mencatat keputusan membanggakan apabila menduduki tempat kedua daripada 38 penuntut,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Baca juga:Menurut TLDM, pencapaian tersebut mencerminkan tahap kompetensi, disiplin, ketahanan mental, ketelitian serta keupayaan pegawai berkenaan bersaing dalam persekitaran latihan ketenteraan antarabangsa yang kompetitif.
Jelasnya, pengalaman dan pencapaian yang diraih sepanjang kursus berkenaan berpotensi menyumbang kepada peningkatan keupayaan latihan, perkongsian pengetahuan serta pembangunan kompetensi warga TLDM dalam bidang berkaitan.

“Pada masa sama, kejayaan ini memperkukuhkan imej profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta hubungan ketenteraan antara Malaysia dan negara luar,” katanya.



