
PETALING JAYA: Seorang pegawai Pasukan Khas Laut (Paskal) berjaya mengharumkan nama negara selepas merangkul Anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan Kursus Infantri Penembak Tepat 2026 di China, baru-baru ini.
Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mencatatkan prestasi memberangsangkan sepanjang program di Kampus Shijiazhuang, Akademi Infantri Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Hebei.
TLDM memaklumkan, pegawai itu mengikuti kursus bermula 1 Mac hingga 31 Julai lalu bersama 131 penuntut dari lebih 24 negara.
“Selain anugerah tertinggi berkenaan, pegawai itu turut menerima Sijil Kepujian-Kadet Cemerlang serta Pingat Lencana Perak berdasarkan pencapaian dalam penilaian kursus.
“Bagi kategori Ujian Penembak Tepat Individu (Kumpulan 1), beliau turut mencatat keputusan membanggakan apabila menduduki tempat kedua daripada 38 penuntut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas TLDM, pencapaian itu mencerminkan tahap kompetensi, disiplin, ketahanan mental, ketelitian serta keupayaan pegawai untuk bersaing dalam persekitaran latihan ketenteraan antarabangsa yang kompetitif.
Katanya, ia berpotensi menyumbang kepada peningkatan keupayaan latihan, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kompetensi warga TLDM dalam bidang berkaitan.
“Pada masa yang sama, kejayaan ini memperkukuhkan imej profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta hubungan ketenteraan antara Malaysia dan negara luar,” katanya.-UTUSAN
The post Pegawai Paskal rangkul anugerah di China appeared first on Utusan Malaysia.



